Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wartawan sukan Perancis enggan ikut tuntutan JDT
Diterbitkan:  Mar 26, 2026 1:38 PM
Dikemaskini: 5:38 AM

Gara-gara menyentuh isu melibatkan kewarganegaraan palsu pemain bola sepak 'warisan' dan kelab dalam Liga Malaysia, seorang wartawan penyiasatan sukan dari Perancis diberikan kata dua oleh JDT semalam.

Menurut Romain Molina, dia diberi tempoh selama 24 jam - sejak petang semalam - oleh kelab dari selatan tanah air itu untuk memadamkan hantaran yang dmuat naik di X.

Kata Molina, kegagalan berbuat demikian meletakkan dia berisiko berdepan dengan tindakan undang-undang daripada JDT serta pemilik kelab tersebut, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Kelab Johor Darul Ta'zim mengarahkan saya untuk memadamkan catatan saya dan menyiarkan catatan lain dalam tempoh 24 jam dengan menyatakan bahawa kelab itu – dan, yang paling penting, pemiliknya, Pemangku Sultan Johor – tidak ada kena mengena dengan semua ini. Jika tidak, saya akan menghadapi serangan dan tindakan undang-undang," katanya di X semalam.

Mengiringi hantaran tersebut ialah salinan surat yang dikeluarkan JDT melalui ketua pegawai operasinya, Alistair Edward.

Melalui surat tersebut Edward mendakwa Molina membuat hantaran dengan mencadangkan yang JDT mendapat manfaat atau terlibat dalam "sistem kewarganegaraan palsu" yang didakwa digunakan oleh FAM.

"Kenyataan anda adalah palsu, mengelirukan dan bersifat fitnah," kata Edwards.

Di sebalik penegasan tersebut Molina tidak memberi sebarang bayangan dia akan berubah fikiran, sebaliknya memberitahu dia enggan memadamkan hantaran awal mengenai JDT yang dimuat naik pada 23 Mac lalu.

Kata Molina, intimidasi mungkin boleh memberi kesan kepada sesetengah orang tetapi sebaliknya dia tidak akan tergugat dengan cara tersebut.

"Jika anda fikir anda boleh menakut-nakutkan saya dengan (cara) ini, anda boleh cuba lagi," tulisnya.

Kedua, kata Molina, hantaran yang dipertikaikan itu merujuk kepada FAM dan bukan JDT secara khusus.

"Adakah sebahagian daripada pemain yang dikenakan sekatan (penggantungan) kerana lesen palsu adalah sebahagian daripada Johor? Ya (Irazabal, Figueiredo atau Hevel).

"Adakah itu menunjukkan bahawa Johor bertanggungjawab atas pemerdagangan orang? Tidak, tetapi sebaliknya, Johor mungkin secara tidak sengaja melanggar peraturan (had) bilangan pemain asing yang dibenarkan dalam perlawanan Liga Super Malaysia," katanya lagi.

Tak pernah didakwa, disiasat

Molina kemudian memberikan contoh bagaimana dalam perlawanan Liga Super sebelum ini, Irazabal, Figueiredo dan Hevel diturunkan bersama pemain dari Brazil, Jairo da Silva serta Bergson da Silva, ditambah dengan Park Jun-heong (Korea Selatan), Moussa Sidibé (Mali), Oscar Arribas (Sepanyol) dan Eddy Israfilov (Azerbaijan).

Kata Molina, terdapat lebih daripada enam pemain import beraksi di padang - dengan tujuh daripadanya beraksi sejak awal permainan - yang sepatutnya menyalahi peraturan namun ia tidak dikenakan tindakan sedangkan penggantungan pemain berkenaan bersifat antarabangsa.

"Jadi Liga Super Malaysia juga mesti terjejas. Itu saja, kecuali kelab anda mengatasi undang-undang," tulisnya.

Dalam hantaran pada 23 Mac lalu Molina menulis: "Walaupun sekatan (terlambat) yang dikenakan oleh Fifa ke atas pemain dan persekutuan (hanya denda), timbul persoalan: bagaimana pegawai-pegawai (FAM) berjaya terlepas daripada sebarang tindakan?"

Dia juga mempertikaikan bagaimana badan induk bola sepak Malaysia terus beroperasi seperti biasa seolah-olah tiada sebarang isu yang berlaku sedangkan keadaan sebenar - dakwa Molina - adalah sebaliknya.

Dalam surat dihantar kepada Molina, Edwards menyatakan bahawa JDT tidak pernah didakwa, disiasat atau digantung oleh Fifa serta mana-mana badan yang berkaitan dakwaan dibuatnya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen daripada JDT berhubung dakwaan dibuat Molina serta surat yang dihantar kepada wartawan terbabit.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS