Presiden Putra Ibrahim Ali menyelar kenaikan harga diesel kepada RM5.52 seliter yang disifatkannya sebagai bukti kegagalan kerajaan dalam melindungi rakyat meskipun negara meraih keuntungan sebagai pengeksport minyak.
Ibrahim berkata, kenaikan tersebut bukan sekadar isu teknikal atau penyelarasan fiskal, sebaliknya menunjukkan pentadbiran hari ini sudah hilang arah dalam menguruskan ekonomi negara.

"Negara untung, rakyat pula ditekan dan disuruh berjimat. Ini bukan ekonomi. Ini salah urus.
"Kerajaan bercakap tentang 'pengurangan beban fiskal'. Hakikatnya mudah, beban itu hanya dipindahkan ke bahu rakyat," kata bekas timbalan menteri itu dalam satu kenyataan media hari ini.
Semalam Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan harga runcit diesel di Semenanjung pula naik sebanyak 80 sen kepada RM5.52 seliter manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada harga RM2.15 seliter.
Kenaikan itu susulan peningkatan harga minyak globalakibat perang di Iran.
Harga runcit petrol RON97 pula dinaikkan sebanyak 60 sen kepada RM5.15 seliter bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April ini manakala harga petrol RON95 tanpa subsidi turut dinaikkan sebanyak 60 sen kepada RM3.87 seliter.
Namun harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah program Budi Madani RON95 (Budi95) pula kekal pada paras RM1.99 seliter.

Mengulas lanjut, Ibrahim menegaskan bahawa diesel merupakan nadi ekonomi yang menggerakkan sektor logistik makanan, nelayan dan petani, di mana sebarang kenaikan harga akan memberi kesan rantaian kepada kos sara hidup.
Cadangan 'Windfall Allocation Rule'
Bagi menangani isu tersebut, Ibrahim mencadangkan agar kerajaan melaksanakan dasar "Windfall Allocation Rule" dengan menyalurkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada lebihan hasil minyak negara untuk menstabilkan harga diesel.
Dia turut mengesyorkan agar subsidi disasarkan secara lebih ketat kepada sektor kritikal melalui sistem kuota dan pemantauan digital bagi mengelakkan ketirisan.
"Jika kerajaan kata tidak mampu, itu bermakna mereka tidak tahu mengurus kekayaan negara.

"Sejarah membuktikan, kerajaan jatuh bukan kerana angka, tetapi kerana hilangnya kepercayaan. Rakyat mungkin diam, tetapi mereka melihat," tambahnya.
Kenyataan ini hadir susulan keresahan pelbagai pihak mengenai pelarasan harga bahan api tersebut yang dilihat memberi tekanan tambahan kepada sektor perniagaan dan pengguna.
