Tokoh wartawan veteran A Kadir Jasin mengingatkan rakyat bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah individu yang paling lantang mengkritik kerajaan berhubung isu kenaikan harga minyak sebelum memegang jawatan nombor satu negara itu.
Menersi satu hantaran di media sosial, Kadir berkata, tindakan rakyat yang hari ini menyuarakan kemarahan atau "melalak" terhadap kenaikan harga bahan api bagi minggu bermula hari ini sehingga 1 April itu adalah berasas.
Katanya, ini memandangkan Anwar sendiri pernah menggunakan taktik serupa ketika menjadi pembangkang.
"Dulu-dulu pun kita maki hamun juga apabila kerajaan naikkan harga minyak. Bukan kita saja, malah Anwar lagi kuat melalak dan maki hamun.
"Beliau kutuk kerajaan dan janji akan turunkan harga minyak kalau kita pilih beliau jadi perdana menteri. Ramai yang percaya dan sokong sampai beliau dapat jadi perdana menteri," katanya.
Semalam Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan harga runcit diesel di Semenanjung pula naik sebanyak 80 sen kepada RM5.52 seliter manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada harga RM2.15 seliter.
Kenaikan itu susulan peningkatan harga minyak globalakibat perang di Iran.
Harga runcit petrol RON97 pula dinaikkan sebanyak 60 sen kepada RM5.15 seliter bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April ini manakala harga petrol RON95 tanpa subsidi turut dinaikkan sebanyak 60 sen kepada RM3.87 seliter.

Namun harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah program Budi Madani RON95 (Budi95) pula kekal pada paras RM1.99 seliter.
Mengulas lanjut, bekas ketua pengarang kumpulan NSTP itu berkata, rakyat kini hanya mengulangi apa yang pernah dilakukan oleh Anwar, memandangkan janji-janji manis yang ditaburkan dahulu tidak seiring dengan realiti ekonomi semasa.
Menurut Kadir, di sebalik retorik politik, Anwar kini melaksanakan dasar "subsidi bersasar" yang sebenarnya mengurangkan peruntukan subsidi negara secara drastik daripada 23 peratus kepada 14.5 peratus pada tahun ini.
Dia mendakwa pendekatan tersebut merupakan "kaedah IMF" yang pernah dipilih Anwar ketika menjadi menteri kewangan pada penghujung tahun 1990-an, walaupun sistem subsidi merupakan bantuan yang diperlukan rakyat.
"Saya rasa memang kita melalak apabila kita bersuara, mengharapkan Anwar melakukan keajaiban dalam mentadbir negara sedangkan kita tahu tahap kemampuan beliau.
"Natijahnya, kalau dulu Anwar bangun membuat kutukan terhadap kerajaan, sekarang giliran rakyat jelata pula bangun dan kutuk beliau. Setiap yang berputar akan kembali ke asalnya," katanya.
Kadir turut menyentuh perbandingan dengan Thailand yang mempunyai mekanisme penampan lebih baik, menyebabkan harga diesel di Malaysia kini mencatatkan kenaikan yang disifatkan sebagai antara yang tertinggi dalam sejarah negara.

Selain diesel, The Edge yang memetik sumber yang tidak dinamakan juga melaporkan kerajaan merancang untuk mengurangkan kelayakan bulanan standard bagi petrol RON95 bersubsidi di bawah program Budi95, selepas harga bahan api tanpa subsidi melonjak lagi susulan perang di Iran yang berterusan.
Menurut sumber itu, bahawa kuota 300 liter sekarang akan dikurangkan kepada 200 liter sebulan, dengan pengumuman kemungkinan dibuat seawal minggu ini dan dijangka berkuat kuasa bermula April.
Katanya, sebaik sahaja had 200 liter itu digunakan, pengguna akan tertakluk kepada harga apungan yang ditentukan pasaran.
