Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mat Sabu: Naratif konflik mazhab hanyalah 'pembodohan' umat
Diterbitkan:  Mar 26, 2026 6:00 PM
Dikemaskini: 10:00 AM

Presiden Amanah Mohamad Sabu menyifatkan naratif yang menggambarkan konflik di dunia Islam sebagai pertembungan mazhab hanyalah satu "pembodohan" yang sengaja dibentuk untuk memecah-belahkan umat.

Sebaliknya, dia menegaskan bahawa pertarungan sebenar yang berlaku hari ini adalah soal kuasa, pengaruh dan kepentingan geopolitik yang didorong oleh Israel serta sekutunya, Amerika Syarikat dan Britain.

"Hakikatnya, sejarah dan perkembangan semasa membuktikan bahawa isu mazhab hanyalah alat.

"Naratif Syiah-Sunni dipopularkan untuk menghalang pengaruh revolusi (Iran) ini daripada merebak ke dunia Islam apabila Imam Khomeini meletakkan pembebasan Palestin sebagai agenda utama," kata menteri pertanian.

Perang Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran yang memasuki hari ke-27 semakin sengit, di tengah-tengah dakwaan bercanggah sama ada rundingan sedang berlaku. 

Angka kematian dianggarkan mencecah ribuan orang.

Menulis di media sosial, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata sejarah menunjukkan kesamaan mazhab tidak pernah menghalang perpecahan sekiranya kuasa menjadi taruhan.

Dia memberi contoh kejatuhan Empayar Uthmaniyah apabila British menggerakkan kebangkitan Arab yang majoritinya bermazhab Sunni untuk menentang Uthmaniyah, yang bermazhab sama.

"Dalam perang Iran-Iraq selama lapan tahun, isu mazhab dimainkan untuk membakar sentimen kononnya Sunni menentang Syiah. 

"Namun sebelum revolusi, Iran di bawah Shah yang bermazhab Syiah adalah sekutu kuat Amerika dan Israel. Ketika itu, tidak timbul langsung isu mazhab," jelasnya lagi.

Tambahnya, situasi di Syria juga membuktikan perkara sama apabila Bashar al-Assad cuba digulingkan selepas membenarkan gerakan anti-Israel seperti Hamas dan Hizbullah membuka pejabat di sana.

"Apabila Syria menjadi pusat sokongan kepada gerakan anti-Israel, isu mazhab mula ditiupkan secara agresif untuk melemahkan dan menjatuhkan kerajaan tersebut," katanya.

Kenapa sunni tak pertahan Morsi?

Mohamad turut mempersoalkan mengapa kerajaan pimpinan Dr Mohamed Morsi di Mesir yang bermazhab Sunni tidak dipertahankan oleh negara Sunni lain ketika dijatuhkan dengan sokongan Barat.

Dia juga menarik perhatian mengenai sokongan Iran terhadap Hamas dan Jihad Islam yang bermazhab Sunni, berbanding sesetengah negara Arab Sunni yang kini menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

"Jelas kebimbangan sebenar bukanlah mazhab, tetapi pengaruh politik yang boleh menggugat struktur kuasa sedia ada di rantau tersebut.

"Pertembungan hari ini bukanlah antara Sunni dan Syiah. Ia adalah pertembungan antara keadilan dan kezaliman, antara yang tertindas dan yang menindas. Mazhab hanyalah topeng yang digunakan oleh kuasa luar untuk mengekalkan dominasi mereka," tegasnya.

Dia menyeru agar umat Islam keluar daripada "perangkap" berkenaan dan melihat landskap geopolitik dunia dengan lensa yang lebih jernih.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS