mk-logo
Berita
Peguam Bangladesh gesa M’sia siasat dakwaan pemerdagangan manusia

Seorang peguam dari Bangladesh menggesa kerajaan Malaysia menyiasat dakwaan sindiket sindiket pemerdagangan manusia melibatkan buruh Bangladesh di negara ini.

Gesaan itu dibuat selepas seorang bekas anggota parlimen Bangladesh Masud Uddin Chowdhury dilapor ditahan reman susulan siasatan berkaitan sindiket pemerdagangan manusia dan penyelewengan dana berjumlah 24,000 crore taka (kira-kira RM8.6 bilion).

Masud Uddin, yang juga pengarah urusan sebuah syarikat merupakan salah seorang defendan dalam kes tu.

"Bangladesh telah memulakan siasatan sejak tahun lepas. Lebih seratus individu dari Bangladesh dan Malaysia dikenal pasti. Ada tangkapan dan seorang bekas menteri ditahan.

"Tapi, di Malaysia masih tiada sebarang tindakan. Sangat mengecewakan," dakwa Md Rafiqul Islam, yang mewakili pengadu kes di Bangladesh, kepada Malaysiakini.

Masud Uddin Chowdhury

Rafiqul adalah peguam kepada Altaf Khan, pemilik syarikat yang memfailkan laporan terhadap 103 orang didakwa anggota sindiket di Bangladesh.

Sementara itu, Rafiqul mendakwa, anak guamnya, walaupun sering ke Malaysia atas urusan perniagaan, tidak pernah dipanggil untuk membantu siasatan.

Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta polis untuk mendapatkan komen mereka.

Portal ini juga sedang cuba mendapatkan komen daripada pasukan Masud Uddin.

Terdahulu, beberapa media Bangladesh, termasuk Dhakatimes24.com melaporkan Masud Uddin ditangkap di kediamannya di Dhaka, ibu kota negara itu, pada malam Ahad lalu.

Beberapa nama besar lain turut dinamakan dalam laporan itu, termasuk bekas menteri dan bekas anggot aparlimen lain di Bangladesh.

Selain itu, sekurang-kurangnya 100 pemilik agensi pengambilan pekerja asing Bangladesh (BRA) juga disebut. 

Pada 31 Julai lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa Bangladesh bersetuju menghentikan siasatan berhubung dakwaan sindiket mengeksploitasi warga Bangladesh yang ingin bekerja di Malaysia.

Ia susulan dakwaan sumber bahawa keputusan tersebut dicapai dalam pertemuan antara wakil kerajaan Bangladesh dan pegawai Kesuma di Kuala Lumpur pada Julai tahun ini.

Kesuma menafikan mengadakan perjumpaan rasmi dengan wakil Bangladesh. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS