Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis berkata beliau menangguhkan tarikh akhir untuk menyerang infrastruktur tenaga Iran sehingga 6 April, dengan alasan kemajuan dalam rundingan, lapor Agensi Anadolu.
“Seperti diminta oleh Kerajaan Iran, kenyataan ini mewakili bahawa saya menangguhkan tempoh pemusnahan loji tenaga selama 10 hari sehingga Isnin, 6 April 2026, jam 8 malam waktu Timur,” tulis Trump di platform Truth Social miliknya.
“Rundingan sedang berlangsung dan, walaupun terdapat kenyataan tidak tepat oleh media berita palsu dan pihak lain, ia berjalan dengan sangat baik,” tambahnya.
Trump sebelum ini memberi isyarat ketidakpastian sama ada AS bersedia mencapai perjanjian dengan Iran, walaupun beliau mendakwa Tehran berminat untuk berunding.
“Mereka bukan bodoh. Mereka sangat bijak, sebenarnya dalam cara tertentu. Dan mereka adalah perunding yang hebat,” katanya dalam mesyuarat Kabinet di rumah putih, namun menyifatkan pihak Iran sebagai “lemah dalam pertempuran.”
Beliau menambah Iran “merayu” untuk mencapai perjanjian.
“Mereka perunding hebat dan mereka merayu untuk mencapai perjanjian. Saya tidak tahu sama ada kita akan dapat berbuat demikian. Saya tidak tahu sama ada kami mahu berbuat demikian,” katanya.
Trump megah untuk menghapuskan keseluruhan kepimpinan Iran dan menyatakan bahawa mereka yang terselamat tidak dapat berkomunikasi.
Menunjukkan bahawa beliau “tidak terdesak” untuk mencapai perjanjian dengan Tehran, katanya: “Malah, kami mempunyai sasaran lain yang ingin diserang sebelum kami berundur. Kami menyerang setiap hari.”
Ketegangan serantau meningkat sejak 28 Feb apabila AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran yang setakat ini mengorbankan lebih 1,340 orang termasuk Pemimpin Agung ketika itu Ayatollah Ali Khamenei.
Iran membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.
Seramai 13 anggota tentera AS terbunuh dan kira-kira 290 lagi cedera sejak operasi itu bermula.
- Bernama-Anadolu
