Dimomokkan sebagai “mudarat besar” dalam PN, Bersatu hari ini menyanggah bekas ketua pemuda mereka yang membuat kecaman tersebut dalam temu bual dengan Malaysiakini.
Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz berpendapat sebenarnya ada mudarat yang lebih besar berbanding apa yang dinyatakan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Kata Tun Faisal, gerakan rakus untuk berkuasa dan menjadi presiden sehingga melanggar perlembagaan juga berbahaya.
Dia turut menyenaraikan tindakan kem Hamzah Zainudin yang didakwa melibatkan penipuan, rundingan dengan parti lain tanpa izin parti serta melanggar sumpah atas nama Allah.
“Dilaporkan ada surat aduan kepada lembaga disiplin mengenai WAF (Wan Ahmad Fayhsal) yang dikaitkan dengan penggunaan SD (akuan berkanun) palsu.
“Semua ini adalah mudarat besar, bukan mudarat kecil. Tak mungkin segala perbuatan ini patuh syariah pun.
“Halal atau haram untuk disokong? Tepuk dada, rujuklah syariat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pagi tadi Malaysiakini melaporkan bagaimana Wan Ahmad Fayhsal meminta kepimpinan tertinggi PN membuat pilihan di antara Bersatu – yang dipimpin presidennya, Muhyiddin Yassin - dengan bekas timbalan presiden parti itu, Hamzah Zainudin.
Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang berpendapat, dia tidak nampak ada sebarang formula yang boleh mendamaikan kem Muhyiddin dengan Hamzah.
Dia juga menganggap pertembungan kedua-dua ahli politik itu “sudah tak boleh dibuat apa” lagi.
Tun Faisal berkata, jika kem Hamzah tidak terlalu naif dan bersabar, Bersatu tidak perlu memecat atau mengambil tindakan ke atas mereka.
Pun begitu, Tun Faisal memberikan langkah cadangan kepada Wan Ahmad Fayhsal, Hamzah dan penyokong mereka sebagai persediaan menghadapi PRU akan datang.
Kata Tun Faisal, kumpulan yang tidak bersetuju dengan Muhyiddin itu wajar memohon menyertai Umno supaya mana-mana wakil rakyat yang terbabit dapat bertanding semula nanti.
Bagi membuktikan keikhlasan Umno pula, kata Tun Faisal, parti itu wajar menerima Hamzah dan semua penyokongnya yang dipecat atau digantung Bersatu supaya secara automatik dinamakan sebagai calon sama ada bagi kerusi parlimen atau dewan undangan negeri.
“Selain mengekalkan Hamzah sebagai calon kerui Parlimen Larut, (Presiden Umno) Ahmad Zahid Hamidi juga boleh menamakan Hamzah sebagai timbalan perdana menteri sekiranya Umno menjadi kerajaan,” katanya.
Pun begitu, menurut Tun Faisal, kem Hamzah sedar yang mereka tiada tempat jika menyertai Umno kecuali hanya menjadi ahli biasa.
“Tanpa jawatan dalam Bersatu, di mata Umno mereka itu tidak lagi signifikan, tidak lagi dipandang dan tidak lagi bernilai di mata Umno,” katanya.
