Dua wakil penduduk menafikan dakwaan yang menuduh mereka cuba memeras ugut “wang perlindungan” daripada sebuah perniagaan, sambil menegaskan lawatan rasmi mereka ke sebuah pusat urut itu hanyalah untuk mendapatkan maklumat susulan aduan orang ramai.
Dua individu berkenaan, yang merupakan ahli Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) berkata mereka melakukan lawatan “pemantauan rutin” ke pusat urut di Wisma Setapak pada 24 Mac selepas menerima aduan daripada komuniti setempat yang bimbang premis itu mungkin menjalankan operasi secara tidak sah.
Timbalan pengerusi MPPWP Sub Zon 2 Wangsa Maju, R Vijeyndran dan pengerusi Sub Zon 6 Wangsa Maju, G Paarthiydasan,turut membuat laporan polis berhubung penyebaran video dalam talian yang merakam kehadiran mereka di pusat urut berkenaan.
Bercakap kepada Malaysiakini, kedua-duanya menegaskan akaun Facebook dikenali sebagai “Kelab Penyokong Perikatan Nasional”, yang memuat naik klip rakaman CCTV itu pada 25 Mac, mempunyai niat jahat dan telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap mereka.

Vijeyndran berkata kapsyen pada hantaran tersebut, yang tular di media sosial dan mencetuskan kecaman meluas, adalah “tidak benar”.
Kapsyen itu mendakwa dua lelaki dalam video tersebut merupakan ahli jawatankuasa PKR bahagian Wangsa Maju dan sedang meminta bayaran daripada perniagaan tersebut.
“Apabila kami pergi ke premis itu, kami memperkenalkan diri sebagai ahli MPPWP sebelum menjelaskan bahawa kami tidak berada di situ untuk menyerang mereka atau mengambil wang mereka.
“Kami memberitahu seorang kakitangan di kaunter bahawa kami hanya ingin mendapatkan maklumat dan mahu memahami dengan lebih baik keadaan perniagaan mereka,” kata Vijeyndran.
‘Mata dan telinga DBKL’
Begitu juga, Paarthiydasan berkata kakitangan di kaunter tidak dapat memberikan maklumat berkaitan dan sebaliknya menghubungi individu lain yang dipercayai sebagai pihak atasan.
Kata Paarthiydasan lagi, mereka sekali lagi menjelaskan kepada pihak berkenaan bahawa mereka tidak mahu sebarang bayaran daripada perniagaan tersebut.
"Sebagai ahli MPPWP, kami bertindak sebagai mata dan telinga DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur). Jika kami ingin membuat laporan berdasarkan aduan orang ramai, kami masih perlu menjalankan semakan yang diperlukan.
"Kami tidak boleh sekadar membuat laporan kepada DBKL terhadap sesebuah perniagaan tanpa terlebih dahulu mengumpulkan semua maklumat yang diperlukan, kerana jika didapati premis itu mempunyai lesen yang sah, kami mungkin akan dituduh membuat laporan palsu," jelas Paarthiydasan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Lazim Ismail ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat oleh kedua-dua lelaki itu semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus pada satu kenyataan pula berkata polis telah menerima sebanyak tiga laporan berhubung kes tersebut.
Fadil turut mengesahkan kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan berkaitan menakutkan seseorang dengan kecederaan bagi tujuan melakukan pemerasan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Pemangku ketua cabang PKR Wangsa Maju Azmee Abd Rahim, masih belum memberikan maklum balas terhadap permintaan Malaysiakini untuk mendapatkan komen.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menggesa siasatan dijalankan terhadap video yang memaparkan Vijeyndran dan Paarthiydasan.

Dia menegaskan bahawa jika dakwaan tersebut benar, kedua-dua individu itu akan digugurkan daripada jawatan mereka dalam MPPWP.
Yeoh berkata tiada “tolak ansur” terhadap sebarang bentuk permintaan “wang perlindungan” atau amalan orang tengah.
Dalam kenyataan berasingan, DBKL menafikan sebarang penglibatan dengan aktiviti yang didakwa melibatkan kedua-dua lelaki itu, serta menolak dakwaan yang mengaitkannya dengan permintaan wang perlindungan dan penyalahgunaan kuasa.
