Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta rakyat di negara ini menyesuaikan diri susulan langkah kerajaan mengurangkan kuota subsidi petrol RON95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata, keputusan itu mungkin dibuat berdasarkan data penggunaan semasa, namun mengakui sebahagian pengguna masih kurang selesa, khususnya dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
“Secara individu, mungkin ikut perkiraan kita boleh buat adjustment. Mungkin 300 liter itu lebih daripada biasa atau pun bila disemak mungkin ada yang hanya pakai 250 liter sahaja. Jadi, mungkin keputusan itu dibuat berdasarkan perkiraan tersebut.
“Tapi pengguna macam tak berapa selesalah sebab yang kita harapkan adalah kerajaan terus membantu.
“Tapi dalam keadaan mencabar hari ini, mungkin keputusan itu dibuat berdasarkan kiraan tertentu,” katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan mengurangkan kuota petrol RON95 bersubsidi susulan krisis berpanjangan di Asia Barat.
Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan langkah strategik bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara berdepan krisis tenaga global akibat konflik di Asia Barat.
Menurutnya, langkah tersebut diambil secara tegas dan terancang, dengan keutamaan terhadap kepentingan rakyat serta ketahanan negara.
Antara langkah utama ialah pengurangan kuota pembelian RON95 bersubsidi kepada 200 liter sebulan bagi warganegara Malaysia, berkuat kuasa 1 April ini.
Bagaimanapun, harga runcit RON95 kekal pada RM1.99 seliter. Selepas had 200 liter digunakan, pengguna akan dikenakan harga apungan mengikut pasaran.

Mengulas lanjut, Nadzim menegaskan isu berkenaan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu kerajaan.
Sebaliknya, katanya, rakyat perlu mengambil inisiatif mengurangkan kos sara hidup, termasuk mengehadkan perjalanan tidak perlu, mengamalkan gaya hidup berjimat-cermat serta mencari alternatif bagi mengurangkan perbelanjaan harian.
“Kalau boleh, kurangkan perjalanan. Mungkin tak perlu kerap keluar. Rakyat juga boleh ambil inisiatif lain seperti menanam sayur sendiri untuk kurangkan kos,” katanya.
Dia turut mengakui wujud jangkaan dalam kalangan rakyat terhadap janji berkaitan harga minyak sebelum ini, namun menegaskan realiti semasa memerlukan semua pihak memahami cabaran ekonomi negara.
Menurutnya, kenaikan kos bukan sahaja melibatkan bahan api, malah memberi kesan rantaian kepada harga barangan lain, sekali gus menuntut tindakan lebih menyeluruh daripada pengguna.
Dalam pada itu, Nadzim menggesa masyarakat mengambil pendekatan lebih serius dalam mengurus perbelanjaan serta penggunaan sumber, termasuk tenaga dan makanan, memandangkan keadaan ekonomi kini tidak lagi boleh dipandang ringan.
“Rakyat kena buat sesuatu secara serius. Secara serius ini, maksud saya, dulu mungkin tak ada keperluan untuk kita menanam sayur, tapi sekarang kita perlu buat semua itu.
“Contohnya, kita buatlah tanaman timun Jepun. Tanam kacang panjang. Sebab kita pun nak makan sayur juga. Mungkin dapatlah kurangkan RM10 ke RM20 untuk belanja sayur tiap-tiap bulan.
“Ini bukan lagi masa untuk ambil ringan. Semua pihak perlu serius dalam menghadapi cabaran kos sara hidup,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempersoalkan langkah penyasaran subsidi RON95 dan menggesa penjelasan lebih terperinci daripada Perdana Menteri.

Dalam responsnya kepada Malaysiakini, dia berkata pengumuman perdana berhubung dasar tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat, dengan reaksi umum dilihat tidak memuaskan.
“Rakyat menuntut akauntabiliti dan bukti berasaskan data (evidence-based data) dari pihak kerajaan bagi memastikan penyasaran subsidi RON95 adalah adil, tidak membebankan rakyat khususnya kepada golongan pendapatan rendah & pertengahan dan telus dari aspek angka penjimatan fiskal negara,” katanya.
Wan Fayhsal turut menggariskan beberapa persoalan utama yang perlu dijawab kerajaan, termasuk berkaitan ketelusan data dan kewangan.
Katanya, kerajaan perlu memperincikan jumlah sebenar subsidi yang ditanggung serta anggaran penjimatan hasil cadangan pengurangan had penggunaan petrol daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan.
“Selain itu, kerajaan juga perlu kongsikan pecahan data pemegang lesen (motosikal dan kereta) dan mereka yang menggunakan lebih daripada 200 liter sebulan mengikut lokasi (bandar/luar bandar) dan pekerjaan.
“Justifikasi dan asas data yang digunakan untuk menetapkan had 200 liter tersebut serta meminta kerajaan menerbitkan kaedah yang digunakan untuk semakan awam bagi membuktikan dakwaan bahawa 90% rakyat tidak terjejas,” katanya.
Mengulas impak sosial, dia berkata kerajaan perlu menilai kesan terhadap golongan yang berulang-alik jarak jauh serta isi rumah dengan keperluan mobiliti tinggi.
Wan Ahmad Fahysal turut mencadangkan mekanisme alternatif, termasuk pemberian kuota tambahan kepada kumpulan sasar tertentu berbanding penggunaan satu had tetap, di samping meminta penjelasan mengenai indikator yang akan digunakan untuk menilai semula dasar itu pada masa hadapan.
“Pihak kami mencadangkan kuota tambahan untuk kumpulan sasar yang khusus berbanding menggunakan satu had rata, serta bertanyakan indikator yang akan digunakan untuk menyemak semula dasar ini pada masa hadapan,” tambahnya.
Kelmarin, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi meningkat sebanyak 60 sen seliter bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April, manakala diesel di Semenanjung Malaysia naik 80 sen kepada RM5.52 seliter bagi tempoh sama.
Kenaikan ini merupakan yang ketiga berturut-turut dalam tempoh tiga minggu.
MOF turut memaklumkan rancangan untuk memperkenalkan kawalan pembelian diesel, khususnya di Sabah, Sarawak dan Labuan, sebagai sebahagian usaha mengekang ketirisan subsidi serta aktiviti penyeludupan.
