Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tukar jantina: Undang-undang hadkan hukuman sekali saja

Apabila Kelantan merekodkan kes pendakwaan pertama membabitkan individu tukar jantina di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019, timbul persoalan apakah status individu terbabit selepas menjalani hukuman jika didapati bersalah kelak.

Hal itu kerana, seseorang yang bertindak menukar jantina dengan melibatkan pembedahan alat sulit, mereka tidak akan boleh lagi berundur atau kembali kepada keadaan asal.

Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang diwartakan pada 2020 menetapkan jika disabitkan bersalah, individu berkenaan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahu atau kedua-duanya.

Ia bermaksud, pesalah akan bebas sepenuhnya selepas selesai menjalani hukuman berkenaan dan dia kekal dengan keadaan seperti selepas menukar jantina.

Kebimbangan juga timbul termasuk kemungkinan ia hanya memberi galakan lagi kepada individu lain untuk mengambil langkah sama kerana tidak perlu begitu bimbang dengan hukuman yang sedia ada.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohamed Fadzli Hassan, ketika ditanya berhubung persoalan berkenaan menjelaskan betapa terdapat limitasi dari sudut hukuman bagi kes seumpama itu.

Jelasnya, hal itu kerana mahkamah syariah tidak ada kuasa untuk menghukum lebih daripada apa yang dihadkan.

"Hukuman bagi kes begitu hanya kena hukum sekali saja, kita tak boleh hukum dua kali atas kesalahan yang sama.

"Katakan kita hukum maksimum (penjara dua tahun), kemudian selepas hukuman dilaksanakan, kita tak boleh buat apa-apa lagi, terpulang kepada dia," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Machang, Selasa lalu.

Awal bulan lalu Malaysiakini melaporkan Kelantan menjadi negeri pertama merekodkan pendakwaan kes mengubah jantina. Ia dibuat mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.

Ia merupakan pendakwaan pertama sejak undang-undang itu diwartakan pada 2020.

Pendakwaan berlangsung di Mahkamah Syariah Kota Bharu pada pertengahan Jan lalu, melibatkan seorang individu disyaki transgender.

Mohamed Fadzli yang juga Adun Temangan berkata, seseorang yang terlanjur melakukan pertukaran jantina diharap menyedari kesalahan mereka yang sangat ditentang dalam Islam.

Justeru kerajaan Kelantan menasihatkan agar golongan terbabit supaya segera bertaubat.

"Kita harap kepada golongan-golongan ini bahawa mereka perlu sedar itu adalah bertentangan dengan tabii, bertentangan dengan sifat semula jadi manusia dan sangat bertentangan dengan agama.

"Jadi kita nasihatkan supaya bertaubat, apa yang dia telah buat itu kita tak boleh buat apa-apa lagi, tak boleh nak kembalikan (jantina asal).

"Jadi kita harap dia bertaubat dan selepas itu kita mohon juga kepada masyarakat untuk menerima kehadiran mereka dan sentiasa nasihat-menasihati. Itu harapan kita semua,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS