Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Had 16 tahun guna media sosial langkah terbaik lindungi kanak-kanak'

Pelaksanaan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial pada separuh kedua tahun ini disifatkan sebagai "pelindung digital" yang kritikal demi kesejahteraan generasi muda.

Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad berkata inisiatif itu merupakan tindakan strategik dalam membentuk jati diri kanak-kanak secara holistik, sekali gus memastikan persekitaran siber yang lebih selamat.

Beliau berkata langkah berkenaan melengkapkan usaha murni kerajaan yang mewajibkan platform media sosial memohon lesen operasi bermula Januari 2025, yang bertujuan meningkatkan akauntabiliti penyedia perkhidmatan terhadap keselamatan pengguna.

“Tindakan tersebut sebagai langkah agar penyedia perkhidmatan media sosial lebih bertanggungjawab dalam operasi mereka demi keselamatan dan kesejahteraan pengguna.

“Dengan pelaksanaan peraturan larangan kepada mereka yang berusia di bawah 16 tahun daripada mendaftar atau memiliki akaun media sosial, ia berfungsi umpama ‘tali pinggang keledar’ untuk kawalan keselamatan digital bagi generasi muda,” katanya kepada Bernama.

Mohd Khairie yang juga penyelidik Advanced Communication Research Unit (ACRU) UUM berkata keperluan kawalan itu semakin mendesak susulan beberapa insiden tragis membabitkan remaja sebelum ini, yang dipengaruhi oleh kandungan serta interaksi tidak sihat menerusi media sosial.

Mengulas dari sudut psikologi, beliau berkata otak kanak-kanak dan awal remaja yang sedang berkembang belum cukup matang serta terhad untuk mengawal gerak hati (impuls) atau menilai risiko jangka panjang dengan tepat.

“Dengan erti kata lain, kanak-kanak malah kumpulan awal remaja mempunyai tahap kecenderungan mudah dipengaruhi oleh persekitaran (keplastikan neuro) yang tinggi. Situasi ini mendedahkan mereka kepada impak negatif kesihatan mental, mudah menjadi mangsa siber, terjebak dengan gejala buli siber dan berpotensi berhadapan dengan permasalahan imej diri dan rendah diri,” katanya.

Bagi memastikan keberkesanan polisi itu, beliau mencadangkan penggunaan teknologi pengesahan identiti pengguna (eKYC) seperti di Australia dan Kesatuan Eropah yang telah terbukti berkesan dalam industri perbankan dan telekomunikasi, selain integrasi sistem MyDigital ID yang mempunyai tahap kawalan ketat.

Sistem eKYC, katanya akan membuat pengesahan identiti melalui imbasan dokumen identiti, pengecaman wajah dan padanan biometrik manakala MyDigital ID juga dapat digunakan sebagai satu lagi mekanisme pengesahan identiti untuk memiliki akaun media sosial yang mempunyai tahap kawalan ketat dan menyakinikan.

“Di samping itu, penyedia platform pula perlu diberikan tanggungjawab yang lebih besar dalam menjayakan dasar ini. Kita boleh mengikut jejak Australia iaitu platform media sosial memikul beban pembuktikan pemilik akaun mereka mencapai umur yang ditetapkan.

“Kegagalan melaksanakan penguatkuasaan had umur ini, mereka boleh dikenakan denda yang berat. Di Australia umpamanya, denda yang dikenakan hingga AUD50 juta jika gagal mengambil langkah munasabah menghalang pemilik di bawah 16 tahun,” katanya.

Beliau berkata kerajaan bersama-sama penyedia perkhidmatan media sosial serta industri telekomunikasi perlu meningkatkan pendidikan literasi digital terhadap ibu bapa serta penjaga termasuk melalui kempen serta keibubapaan digital sebagai langkah pembudayaan holistik untuk memastikan ekosistem sedia ada menyokong polisi menghad umur pemilikan media sosial.

“Ibu bapa memerlukan pengetahuan dan kesedaran agar mereka tidak menjadi ‘perosak’ dengan memintas sekatan atau memalsukan akaun untuk anak-anak mereka,” katanya.

Ditanya mengenai Indonesia yang menguatkuasakan sekatan akses media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun berkuat kuasa hari ini, Mohd Khairie berkata ia sesuatu yang wajar dicontohi tetapi dilaksanakan mengikut kaedah tersendiri di negara ini.

“Dari segi proses pengesahan umur juga, Malaysia dilihat lebih ketat dengan cadangan awal pelaksanaan menggunakan sistem eKYC berbanding Indonesia yang cenderung menggunakan gabungan sistem identiti digital dan teknologi anggaran umur berasaskan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Indonesia menjadi negara bukan Barat pertama yang melarang akses kepada platform digital berisiko tinggi bagi kanak-kanak di bawah umur 16 tahun bermula hari ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS