Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR arah dua ahli MPPWP Wangsa Maju letak jawatan
Diterbitkan:  Mar 28, 2026 10:48 AM
Dikemaskini: 3:29 AM

Dua individu yang didakwa meminta “wang perlindungan” daripada sebuah premis perniagaan seperti dalam rakaman video tular baru-baru ini diarahkan meletakkan jawatan serta-merta dalam Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP).

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan, Azman Abidin berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat biro politik PKR semalam.

"Langkah ini adalah untuk memberi laluan sepenuhnya kepada proses siasatan polis dan siasatan dalaman parti tanpa sebarang gangguan.

"Komitmen Tadbir Urus Bersih Parti tidak akan bertolak ansur dan tidak akan melindungi mana-mana ahli atau wakil yang terlibat dalam amalan pemerasan, wang perlindungan atau salah guna kuasa. Keadilan mesti bermula dari dalam parti sendiri,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Semalam Malaysiakini melaporkan dua individu itu menafikan meminta wang perlindungan daripada sebuah pusat urut di Wisma Setapak pada 24 Mac lalu. Kedua-dua lelaki itu sebalikya mendakwa kehadiran mereka ke premis itu adalah bagi mendapatkan maklumat susulan aduan orang ramai.

Timbalan pengerusi MPPWP Sub Zon 2 Wangsa Maju, R Vijeyndran dan pengerusi Sub Zon 6 Wangsa Maju, G Paarthiydasan, turut membuat laporan polis berhubung penyebaran video dalam talian yang merakam kehadiran mereka di pusat urut berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana menakutkan seseorang dengan kecederaan bagi tujuan melakukan pemerasan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Mengulas lanjut, Azman berkata biro politik PKR mengarahkan Jawatankuasa Disiplin PKR Wilayah Persekutuan menjalankan siasatan menmyeluruh berhubung isu berkenaan.

Biro itu juga mengesyorkan agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus memantau aktiviti pusat urut di kawasan Wangsa Maju dengan lebih teliti bagi memastikan tiada

sebarang aktiviti yang melanggar peraturan, undang-undang atau lesen premis.

"Biro Politik mengingatkan semua ahli dan wakil KEADILAN bahawa kedudukan sebagai wakil penduduk adalah amanah rakyat yang mesti dipegang dengan penuh integriti.

"Sebarang penyelewengan akan ditangani dengan tegas tanpa kompromi.

Pada Rabu lalu, satu akaun Facebook “Kelab Penyokong Perikatan Nasional” memuat naik video sepanjang lapan minit 34 saat, yang mendakwa ahli jawatankuasa PKR cabang Wangsa Maju meminta bayaran daripada sebuah pusat urut.

Dalam video yang dipercayai rakaman CCTV itu, lelaki berkenaan dilihat berbincang mengenai tawaran berkaitan urusan dalaman DBKL. Namun, sebahagian besar audio tidak jelas dan sukar didengar.

Pada Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata dia telah mengarahkan laporan polis dibuat berhubung video tersebut.

Hannah menegaskan bahawa jika dakwaan tersebut benar, kedua-dua individu itu akan digugurkan daripada jawatan mereka dalam MPPWP.

Dalam kenyataan berasingan, DBKL menafikan sebarang penglibatan dengan aktiviti yang didakwa melibatkan kedua-dua lelaki itu, serta menolak dakwaan yang mengaitkannya dengan permintaan wang perlindungan dan penyalahgunaan kuasa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS