Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Acara Tidur Lambak yang dirancang diadakan Ipoh diteruskan seperti dirancang namun dilaksanakan bersama panduan dan pemantauan pihak berkuasa dari awal.

Menurut penganjur, pihaknya sudah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum menerima teguran daripada Jabatan Mufti Negeri Perak melalui kenyataan awam semalam.

Penganjur, Tapir Studio, berkata pihaknya menerima baik teguran tersebut dan mendapat panduan dengan menetapkan prosedur-prosedur tertentu sepanjang acara berlangsung.

Antaranya, kata penganjur, peserta lelaki dan perempuan diasingkan di dua tempat berbeza.

“Kami teruskan program seperti yang dirancang, dan kami memang bekerjasama rapat dengan PDRM sebelum ini, dan pihak berkuasa juga hadir membuat pemantauan ketika acara berlangsung.

“Mereka menghormati acara dan faham bahawa objektif proram ini ialah untuk membantu individu dari segi kesihatan mental dan fizikal melalui proses rehat.

“(Prosesnya) Termasuklah elemen bunyi-bunyian menenangkan dan juga unjuran yang dapat mengurangkan stres harian dan membantu minda tidur,” kata seorang wakil kumpulan kolektif seni itu ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Semalam Jabatan Mufti Negeri Perak dalam satu kenyataan menasihatkan agar penganjuran acara Tidur Lambak yang dijadual berlangsung malam tadi dan hari ini diteliti semula bagi memastikan ia mematuhi garis panduan syarak.

Jabatan berkenaan memaklumkan bahawa pihaknya tidak membantah secara keseluruhan konsep acara berkenaan yang diinspirasikan daripada budaya masyarakat Malaysia, khususnya pengalaman tidur beramai-ramai ketika pulang ke kampung.

Bagaimanapun jabatan tersebut, pelaksanaan program sedemikian perlu mengambil kira aspek agama dan adat Melayu agar tidak menimbulkan sebarang fitnah terhadap Islam atau menjejaskan nilai akhlak masyarakat.

“Acara sebegini perlu kepada penelitian yang saksama dengan merujuk kepada elemen syarak dan adat Melayu,” menurut kenyataan tersebut.

Rehatkan minda peserta

Jabatan Mufti Negeri Perak turut menzahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya percampuran antara lelaki dan perempuan bukan mahram di sepanjang program berlangsung, yang berpotensi membawa kepada pelanggaran batasan agama.

Menurut agensi itu lagi, antara risiko yang dikenal pasti termasuk kesukaran menjaga pandangan, pendedahan aurat serta kemungkinan berlakunya sentuhan antara bukan mahram.

“Jabatan Mufti Negeri Perak mengingatkan bahawa Islam tidak bertujuan menyekat hubungan sosial atau aktiviti rekreasi, namun berperanan sebagai panduan bagi memelihara maruah dan kesejahteraan manusia,” tambah kenyataan itu lagi.

Tapir Studio berkata, acara Tidur Lambak merupakan sebuah pengalamn audio-visual untuk masyarakat datang dan mengalami bunyi sendiri bersama unjuran yang menenangkan.

Menurutnya, latar budaya nostalgik tidur lambak menonjolkan pengalaman silam yang menjadi kenangan dan kini semakin kurang difahami masyarakat di bandar pada musim perayaan.

“Pengalaman ini adalah peluang untuk peserta ingat semula memori-memori dan budaya kampung yang sudah kurang dialami pada masa kini oleh masyarakat di kota.

“Dari segi soundscape, kami berkolaborasi dengan artis Ipoh bagi membimbing peserta ke dalam keadaan rehat menggunakan bunyi eksperimental dan frekuensi yang mengalakkan rehat.

“Frekuensi meditasi dan penyembuhan ini berasaskan seni untuk kesihatan mental dan kesejahteraan, terutamanya untuk individu yang sukar tidur atau insomnia.

“Unjuran artistik juga digunakan untuk mewarnai ruang, dan turut merehatkan minda peserta,” katanya.

Tambah penganjur, sekitar 40 orang peserta dalam lingkungan usia tujuh tahun hingga 70-an menghadiri acara selama dua jam itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS