Ketika umat Islam di Malaysia meraikan Syawal, negara pula dilanda cuaca panas terik berpanjangan.
Malah ramai berpendapat bahang panas tahun ini antara yang paling ketara sehingga menjejaskan aktiviti ziarah dan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri.
Kipas dan penyaman udara kini menjadi “penyelamat”, manakala rutin harian pula terpaksa disesuaikan dengan keadaan suhu yang semakin mencabar.
Namun begitu, tradisi kunjung-mengunjung tetap diteruskan demi mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai.
Persoalannya, adakah cuaca panas ini sekadar fenomena bermusim, atau petanda awal kepada perubahan iklim yang lebih serius?
Mengapa Malaysia mengalami cuaca panas?
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Malaysia kini berada dalam tempoh peralihan monsun selepas Monsun Timur Lain.
Ketika tempoh ini taburan hujan mula berkurang, suhu harian meningkat dan atmosfera menjadi lebih kering, khususnya di kawasan utara dan pedalaman Semenanjung.
Setakat 28 Mac, kawasan Perlis, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, Baling (Kedah) dan Hulu Perak (Perak) direkodkan berada pada tahap 2 (gelombang haba) iaitu suhu maksimum harian mencecah antara 37 hingga 40 darjah celcius tiga hari berturut-turut.

Kawasan Padang Terap, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu (Kedah), Timur Laut dan Utara (Pulau Pinang), Kinta, Kuala Kangsar serta Perak Tengah (Perak) pula direkodkan berada pada tahap 1 (berjaga-jaga) iaitu suhu maksimum harian mencecah antara 35 hingga 37 darjah celcius tiga hari berturut-turut.
Namun, faktor bermusim sahaja tidak cukup untuk menjelaskan tahap kepanasan semasa.
Fenomena global seperti El Nino turut memainkan peranan penting. Apabila suhu permukaan laut meningkat, haba yang terperangkap dalam atmosfera juga meningkat, sekali gus menyebabkan cuaca lebih panas dan kering.
MetMalaysia turut memaklumkan bahawa negara berisiko mengalami gelombang haba sehingga tahap tiga iaitu suhu melebihi 40°C sekiranya El Nino berkembang dengan lebih kuat dalam tempoh terdekat.
Menurut pakar klimatologi, Fredolin Tangang, fenomena seperti El Nino boleh meningkatkan kekerapan hari panas ekstrem di Malaysia, selari dengan trend pemanasan global.
Jelasnya, tahun ini dijangka antara tahun paling panas berdasarkan trend pemanasan global dan pengaruh El Niño”
Dia turut mendakwa kebarangkalian El Nino untuk mencecah 70–90 peratus dan berpotensi berlanjutan hingga awal 2027.
Apa itu El Nino?
El Nino ialah fenomena pemanasan luar biasa bagi suhu permukaan laut di bahagian timur Lautan Pasifik yang mengganggu sistem cuaca dunia. Apabila laut menjadi lebih panas, proses pembentukan awan dan hujan turut berubah hingga menyebabkan sesetengah kawasan termasuk Malaysia mengalami cuaca lebih kering dan panas.

Tambah Fredolin Tangang, fenomena ini berlaku apabila lapisan termoklin melemah, menghalang air sejuk naik ke permukaan laut dan meningkatkan suhu laut dan atmosfera.
Indikator suhu ekstrem ini merujuk kepada peningkatan suhu persekitaran melebihi 37 darjah Celsius dan berupaya meningkat sehingga 40 darjah Celsius.
Penyelidik yang telah lama mengkaji fenomena El Niño itu menyatakan bahawa tanda-tanda awal perubahan keadaan di Lautan Pasifik perlu dipantau rapi, kerana ia boleh mempengaruhi kekuatan fenomena El Niño dalam kitaran semasa.
Adakah perubahan iklim dan pembangunan menjadi punca?
Selain faktor semula jadi, pembangunan pesat turut menyumbang kepada peningkatan suhu setempat. Penebangan hutan dan pembangunan secara agresif membuatkan banyak kawasan kurang teduhan semula jadi.
Pengurangan kawasan hijau ini menyebabkan kurang penyerapan haba semula jadi kerana tumbuh-tumbuhan membantu untuk menyejukkan udara melalui proses transpirasi. Maka, apabila pokok semakin kurang, suhu semakin naik.
Permukaan konkrit di bandar pula menyimpan haba lebih lama menyebabkan suhu di kawasan bandar lebih tinggi berbanding luar bandar, terutama pada waktu malam. Fenomena ini dikenali sebagai “pulau haba bandar” dan antara kawasan bandar yang terjejas ialah Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Penang.
Mengapa kawasan utara lebih terjejas?
Kawasan utara semenanjung seperti Perlis dan Kedah sering menjadi “titik panas” ketika tempoh ini. Menurut data dari MetMalaysia, Chuping, Perlis pernah mencatat suhu tertinggi negara iaitu 40.1 darjah celsius pada tahun 1998.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia, Ambun Dindang, keadaan ini berpunca daripada corak tiupan angin Monsun Timur Laut yang membawa lebih banyak kelembapan ke Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.

Akibatnya kawasan utara dan pantai barat menerima kurang taburan hujan, keadaan menjadi lebih kering dan panas, serta suhu meningkat lebih cepat berbanding kawasan lain.
Selain itu, faktor geografi seperti kawasan pedalaman yang jauh dari pengaruh laut turut menyumbang kepada peningkatan suhu kerana kurang pengaruh laut yang biasanya membantu menstabilkan suhu. Dalam keadaan tertentu, suhu di kawasan-kawasan ini boleh menghampiri 40 darjah celsius terutamanya apabila kelembapan udara rendah.
Berapa lama bahang ini akan berlarutan?
Fenomena cuaca panas ketika ini dijangka berterusan sehingga awal Monsun Barat Daya sekitar Jun, susulan keadaan atmosfera yang lebih kering serta taburan hujan yang rendah.
Ambun dilapor berkata, negara kini berada dalam fasa akhir Monsun Timur Laut sebelum memasuki tempoh peralihan monsun, yang lazimnya menyebabkan pengurangan hujan serta peningkatan suhu, khususnya di kawasan utara dan pedalaman Semenanjung.
Menurutnya, unjuran model cuaca tempatan dan global menunjukkan Malaysia dijangka mengalami keadaan lebih kering dengan taburan hujan di bawah paras normal dalam beberapa bulan akan datang.
Walaupun hujan setempat dijangka berlaku pada waktu petang dan malam sepanjang tempoh peralihan monsun, ia hanya membantu meredakan suhu buat sementara waktu.
Apa kesan cuaca panas berpanjangan kepada kehidupan rakyat?
Cuaca panas bukan sekadar menjejaskan keselesaan sehari-hari, tetapi turut melibatkan pelbagai aspek kehidupan.
Dari sudut kesihatan, peningkatan suhu membawa kepada risiko kelesuan dan strok haba, terutamanya dalam kalangan golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, pesakit kronik, serta ibu hamil dan menyusu.
Keupayaan tubuh mereka untuk menyesuaikan diri dengan suhu tinggi adalah lebih rendah, menjadikan mereka lebih mudah mengalami komplikasi kesihatan.
Menurut Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, sebanyak 15 kes berkaitan cuaca panas dilaporkan setakat Mac 2026, termasuk tiga kes strok haba dan satu kes kematian kanak-kanak akibat tertinggal dalam kenderaan.
Dzulkefly turut memberi amaran bahawa angka ini boleh meningkat jika langkah pencegahan masih diabaikan.
Dari sudut alam sekitar, keadaan kering meningkatkan risiko kebakaran hutan dan belukar terutama di kawasan mudah terbakar seperti tanah gambut.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sebanyak 6,575 kes kebakaran hutan direkodkan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini
Selain itu, kesan terhadap sumber air juga tidak boleh dipandang ringan apabila paras empangan dan sungai berpotensi menurun akibat kekurangan hujan berterusan.
Risiko gangguan bekalan air meningkat sekiranya keadaan berlarutan
Dalam sektor ekonomi, kesannya turut dirasai khususnya dalam bidang pertanian dan industri.
Tanaman mudah rosak akibat tekanan haba dan kekurangan air
Sektor pembinaan dan perkilangan perlu menyesuaikan waktu operasi bagi melindungi pekerja daripada risiko kesihatan
Apa langkah diambil kerajaan?
Kerajaan telah mengambil beberapa langkah bagi mengurangkan risiko kepada rakyat, khususnya dalam sektor pendidikan. Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, sekolah dibenarkan menutup operasi jika suhu melebihi 37°C selama tiga hari berturut-turut.
Selain itu, semua aktiviti luar seperti sukan dan perkhemahan perlu dihentikan jika suhu berada antara 35°C hingga 37°C dalam tempoh yang sama. Kebenaran khas turut diberikan untuk memakai pakaian sukan yang sopan ketika cuaca panas.
Kementerian Pendidikan juga mengarahkan pemantauan suhu harian di sekolah selaras dengan sebahagian garis panduan sejak 2023 bagi melindungi kesihatan pelajar dan guru daripada risiko strok haba.
Pembenihan awan boleh membantu?
Operasi Pembenihan Awan (OPA) sering digunakan sebagai langkah jangka pendek untuk merangsang hujan ketika musim kemarau. OPA selalunya dibuat ketika paras air di beberapa empangan di negeri terjejas semakin menyusut akibat cuaca panas yang berterusan.

Kaedah ini melibatkan penyemburan ejen higroskopik seperti air garam ke dalam awan menggunakan pesawat untuk membantu menarik, menyerap dan mengekalkan wap air di atmosfera sekali gus membantu meningkatkan proses pemeluwapan wap air supaya titisan hujan dapat terbentuk.
Pada bulan lalu, MetMalaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah melaksanakan OPA menggunakan pesawat C-130H oleh Tentera Udara Diraja Malaysia yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang bagi membantu meningkatkan paras air di tujuh empangan di Johor, Kedah dan Perak susulan keadaan empangan yang berada pada paras amaran akibat cuaca kering berterusan.
Namun MetMalaysia menjelaskan keberkesanan pembenihan awan bergantung kepada kewujudan awan yang mencukupi. Dalam keadaan atmosfera terlalu kering, usaha ini mungkin kurang berkesan dan tidak mampu menjadi penyelesaian jangka masa panjang.
Nasihat kepada orang ramai
Pendedahan berpanjangan kepada cuaca panas melampau boleh meningkatkan risiko kesihatan. Dalam menghadapi situasi ini, perubahan kecil dalam gaya hidup boleh memberi kesan yang besar.
Langkah pencegahan yang disarankan:
Kurangkan aktiviti luar atau rancang aktiviti di luar waktu puncak panas (11 pagi hingga 4 petang)
Minum air kosong dengan kerap walaupun tidak berasa haus
Banyakkan berehat, terutama jika melakukan aktiviti fizikal
Pakai pakaian longgar, ringan dan berwarna cerah
Gunakan perlindungan seperti topi atau payung untuk mengurangkan pendedahan kepada matahari
Orang ramai juga perlu lebih peka terhadap tanda awal strok haba.
Gejala awal yang perlu diberi perhatian:
Sakit kepala
Keletihan
Hilang tumpuan
Pening
Suhu badan meningkat
Gejala serius yang memerlukan tindakan segera:
Kekejangan otot
Mual dan muntah
Tanda-tanda dehidrasi
Kekeliruan atau tidak sedarkan diri
Pada masa sama, masyarakat juga digalakkan untuk memainkan peranan dalam menjaga sumber dan alam sekitar.
Amalan yang digalakkan:
Mengamalkan penjimatan air
Mengelakkan pembakaran terbuka
Lebih peka terhadap risiko kebakaran di kawasan persekitaran
Langkah-langkah ini penting bagi mengurangkan kesan cuaca panas terhadap kesihatan serta memastikan kesejahteraan bersama.
