Bursa aset digital Luno melancarkan 29 aset digital baharu di Malaysia.
Syarikat itu dalam kenyataan berkata aset baharu ini telah diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan kini boleh diakses oleh pengguna melalui platformnya.
“Pencapaian ini telah menambahkan lagi pilihan kripto di Luno menerusi penawaran 51 aset kripto, pilihan terbesar bagi platform yang dikawal selia di negara ini sekali gus menandakan langkah penting dalam usaha memperluas akses pelabur Malaysia terhadap ekosistem aset digital global,” katanya.
Aset-aset baharu yang diiktiraf ini meliputi lapan kategori kripto iaitu rantaian blok Layer-1 dan Layer-2, kewangan desentralisasi (DeFi), token berkaitan kecerdasan buatan (AI), permainan, token tidak sepiawai (NFT), aset dunia nyata (RWA) dan rangkaian infrastruktur fizikal desentralisasi (DePIN).
Timbalan Pengurus Luno di Malaysia Jeroni Khoo berkata langkah itu menandakan pelancaran aset kripto terbesar syarikat itu di negara ini, selaras dengan keperluan kawal selia SC dan bertujuan meluaskan akses kepada aset digital.
“Menerusi 51 aset kripto yang kini disenaraikan pada platform kami, pelabur boleh membina lebih banyak portfolio berbanding sebelumnya sambil menerima manfaat daripada keselamatan dan piawaian pematuhan yang dipegang teguh oleh Luno,” katanya.
Menurut Luno, semua 29 aset kripto baharu kini tersedia pada fungsi Beli/Jual Segera yang dilancarkan di platform Exchange sebanyak tiga fasa iaitu selang dua minggu bermula 27 Mac.
- Bernama
