Seorang wanita terkejut selepas menyedari kuota subsidi Budi Madani RON95 (Budi95) dipercayai digunakan pihak lain ketika mahu membuat pembelian petrol di sebuah stesen minyak di Sepang, Khamis lalu.
Sharina Azirah Ismali, 39, berkata transaksi pembeliannya ditolak berkali-kali ketika mahu membuat pengisian petrol sebelum bertolak ke Johor Bahru.
“Ketika itu saya sampai dari Kedah, dan nak isi petrol untuk perjalanan ke Kulai. Bila tak boleh guna Budi95, saya membuat semakan dan terkejut mendapati kuota subsidi sudah habis untuk bulan ini (Mac).
“Padahal saya jarang guna sebab jarang isi minyak kereta. Saya selalu guna pengangkutan awam untuk pergi dan balik kerja.
“Jadi saya rasa pelik apabila kuota Budi95 saya dah habis,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Tak pernah hilang MyKad
Lebih mengejutkan katanya, semakan mendapati terdapat beberapa transaksi Budi95 miliknya digunakan sebanyak enam kali sejak Januari lalu di stesen minyak sekitar Perlis.
“Agak merisaukan juga sebab saya tak pernah kehilangan MyKad, malah tidak ke Perlis pada tarikh-tarikh transaksi itu dibuat. Jadi macam mana ada pihak lain boleh buat guna Budi95 saya?
“Bahkan transaksi Budi95 yang dibuat di Perlis itu melibatkan isian petrol dalam kuantiti yang banyak,” kata Sharina.

Tambahnya, antara pembelian dibuat bernilai RM150 bagi 34.480 liter pada 23 Mac lalu di Padang Besar; RM82.64 (41.525 liter) dan RM250 (125.627 liter) masing-masing pada 22 Mac lalu.
Susulan itu Sharina membuat laporan di Balai Polis Kelapa Sawit, Kulai semalam (27 Mac) ketika dalam perjalanan kepada Johor Bahru.
“Saya juga buat aduan kepada khidmat pelanggan Budi Madani melalui panggilan telefon dan emel, tetapi tiada perkembangan lanjut lagi setakat ini.
“Jadi saya terpaksa beli petrol tanpa susbsidi memandangkan kuota Budi95 sudah habis,” katanya.

Sharina berharap kes dihadapinya ini disiasat oleh pihak berkuasa dengan kadar segera dan mengesan pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian ini.
“Saya harap orang ramai boleh membuat semakan kuota Budi95 masing-masing bagi memastikan kes seperti saya ini tidak berulang,” katanya.
Malaysiakini sudah menghubungi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali untuk mendapatkan respon lanjut berhubung kes berkenaan.
