Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menafikan sebarang penglibatan dalam cadangan pembekalan bahan api ke Filipina, susulan laporan mengenai rancangan kerajaan wilayah di negara itu untuk mendapatkan bekalan dari Malaysia.
Dalam kenyataan hari ini, Petronas menegaskan ia tidak mengetahui atau terlibat dalam sebarang pengaturan berkaitan, serta tidak memeterai apa-apa perjanjian atau komitmen berhubung cadangan tersebut.
“Petronas ingin menjelaskan tidak mengetahui atau terlibat dalam sebarang pengaturan sedemikian, dan tidak memeterai apa-apa perjanjian atau komitmen yang berkaitan,” menurut syarikat minyak dan gas negara itu.
Petronas menegaskan tumpuannya untuk memastikan bekalan bahan api yang stabil dan berterusan tersedia untuk Malaysia.
"Aspek itu kekal sebagai keutamaan, disokong oleh rangkaian bekalan yang kukuh dan kerjasama erat dengan kerajaan,” katanya.
Kerajaan wilayah Davao del Norte pada 25 Mac lalu dilaporkan berhasrat membeli sehingga 44 juta liter minyak mentah dan petrol dari Malaysia bagi menangani kenaikan harga bahan api susulan konflik di Asia Barat.
Gabenor wilayah itu, Edwin Jubahib dipetik Agensi Berita Filipina (PNA) berkata walaupun kos pembelian belum dimuktamadkan, dia yakin kerajaan Malaysia akan menyediakan bekalan tersebut.
“Saya berhubung dengan daerah Johol di Negeri Sembilan, Malaysia, dan berkongsi masalah kami. Memandangkan mereka mempunyai rizab besar minyak mentah dan petrol, mereka memberi maklum balas positif dan berkata kami boleh membeli sebahagiannya,” kata Jubahib.
Jubahib dilaporkan berkata bekalan minyak itu akan diperoleh daripada syarikat petroleum nasional Malaysia.
“Pegawai perhubungan pemerintah Johol kini berada di ibu pejabat wilayah, dan kami akan bertemu hari ini (25 Mac) untuk membincangkan kos serta penghantaran,” tambahnya.
Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr pada 25 Mac lalu mengisytiharkan darurat tenaga negara sebagai langkah berjaga-jaga terhadap gangguan bekalan dan lonjakan harga minyak dunia susulan meruncing susulan konflik berterusan di Asia Barat.
"Pengisytiharan darurat tenaga ini akan membolehkan kerajaan melaksanakan langkah responsif dan terselaras di bawah undang-undang sedia ada bagi menangani risiko gangguan bekalan tenaga global serta kesannya terhadap ekonomi domestik," katanya.
Lebih 400 stesen minyak di Filipina telah menghentikan operasi akibat kenaikan harga bahan api yang mendadak.
