ULASAN | Sudah lebih seminggu Syawal berlalu. Ada bermacam-macam kisah yang berlaku, daripada perang dia Asia Barat hingga ke masalah panas yang kian membahang di seluruh negara.
Ada media memaparkan gambar seeokor burung upih mati di sawah kerana kepanasan, selain lembu-lembu yang terpaksa meragut rumput kering.
Ada juga kejadian kereta bergoyang diserbu jabatan agama Islam.
Peristiwa menyayat hati turut mewarnai Syawal ini apabila seorang wanita dicederakan oleh suami sendiri. Ia disambut dengan pelbagai reaksi, termasuk rasa tidak puas hati apabila si pelaku hanya dihukum penjara selama empat bulan saja.
Ramai yang mengharapkan lelaki terbabit dihukum dengan lebih keras.
Ada juga kisah sepasang suami isteri yang meninggal dunia kerana dibunuh dalam kejadian yang dipercayai dilakukan ahli keluarga mereka sendiri.
Justeru sekali lagi Aidilfitri kita disambut dengan kisah yang tragis.
Sementara itu di Pulau Pinang tular pula satu video berdurasi 38 saat melibatkan perlakuan tidak senonoh di kawasan perkuburan.
Ketika biasanya tanah perkuburan selalu dikaitkan dengan kisah hantu, tiba-tiba kita berdepan dengan kegiatan yang sama sekali sukar diterima akal sihat.
Soalannya: kenapa di tanah perkuburan Cina?
Mungkin juga semasa musim perayaan ini bilik hotel, homestay, rumah tumpangan atau yang seumpamanya penuh, justeru tanah perkuburan Cina menjadi lokasi melampiaskan nafsu masing-masing.
Pasangan terbabit telah dibicarakan dan dihukum.
Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi menjatuhkan hukuman itu terhadap M Jegathesan, 58; dan Halila Abu Bakar, 37; selepas mereka mengaku salah atas pertuduhan di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan.
Dari satu sisi yang ‘ringan’ apa yang berlaku di kawasan jirat itu menunjukkan ‘semangat muhibah’ rakyat Malaysia.
Ia mengingatkan kita kepada sebuah lagu popular – Jerat Percintaan. Cuma kali ini bezanya jerat itu mengena di kawasan jirat!
Dan bayangkan jika kejadian jijik itu terjadi di tanah perkuburan Islam.
SHAHRAY ZULKIFLY ialah bekas peguam syarie yang pernah bertugas di Brunei Darussalam selama 24 tahun.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
