mk-logo
Berita
‘Pemandu mabuk sebabkan kematian patut disiasat bunuh tanpa niat’
Diterbitkan:  Mar 30, 2026 1:47 PM
Dikemaskini: 6:42 AM

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mendesak kerajaan meminda Kanun Keseksaan bagi mengklasifikasikan kes pemanduan bawah pengaruh alkohol atau dadah yang menyebabkan kematian sebagai jenayah bunuh tanpa niat.

Presiden Abim Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, insiden sedemikian tidak lagi boleh dianggap sebagai kemalangan trafik atau kecuaian biasa, sebaliknya kecuaian melampau yang meletakkan nyawa orang lain dalam risiko maut.

"Pendekatan ini penting bagi mengiktiraf hakikat bahawa perbuatan tersebut bukan lagi kecuaian biasa, tetapi satu bentuk kecuaian melampau yang mempunyai implikasi maut terhadap orang awam," katanya.

Ahmad Fahmi Mohd Samsudin

Kenyataan itu dikeluarkan susulan insiden kemalangan maut di Klang  semalam yang mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat dirempuh pemandu yang menurut polis berada bawah pengaruh arak dan dadah.

Menurut polis, pemandu Honda City memandu laju dan berbahaya sebelum memotong beberapa kenderaan, memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah motosikal.

Rakaman video itu juga tular di alam maya dan mencetuskan kemarahan awam.

Suspek kini direman bagi membantu siasatan bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 melibatkan kesalahan mengambil dadah tanpa kebenaran yang sah dan jika sabit jenayah boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun.

Sementara itu, Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pula berkaitan kesalahan memandu bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah dan menyebabkan kematian.

Jika disabitkan, pesalah boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun serta denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000.

Langkah tegas, saringan mandatori

Sementara itu, Ahmad Fahmi turut menggariskan beberapa langkah tegas bagi menangani isu keselamatan jalan raya yang melibatkan bahan terlarang.

Antara cadangan tersebut termasuklah memperkenalkan pendekatan tanggungjawab ketat yang pembuktian kes tidak lagi bergantung kepada niat membunuh, sebaliknya memadai dengan bukti pemandu berada bawah pengaruh bahan tersebut.

"Pesalah yang disabitkan perlu dikenakan hukuman yang lebih berat termasuk penggantungan lesen jangka panjang dan pertimbangan larangan memandu seumur hidup, khususnya bagi kes serius atau berulang.

"Ujian alkohol dan dadah juga hendaklah diwajibkan dalam semua kes kemalangan maut atau kecederaan serius bagi memastikan ketelusan dan keberkesanan pendakwaan," tambahnya lagi.

Menurut Ahmad Fahmi, sistem penilaian kelayakan memandu juga perlu diperketatkan melalui saringan terhadap individu berisiko tinggi bagi memastikan jalan raya tidak menjadi ruang ancaman kepada pengguna lain.

Dia turut menekankan kepentingan penguatkuasaan konsisten melalui sekatan jalan raya berkala dan ujian rawak bagi membina budaya bertanggungjawab dalam masyarakat.

"Setiap nyawa yang terkorban akibat pemandu mabuk adalah kegagalan yang tidak boleh dinormalisasikan. Ini bukan kemalangan. Ini adalah kecuaian yang membunuh," tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS