Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO Islam gesa kerajaan pertimbang ‘diyat’ hukum pemandu mabuk
Diterbitkan:  Mar 30, 2026 2:54 PM
Dikemaskini: 7:03 AM

Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menggesa kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan konsep “diyat” bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa yang maut akibat insiden dilanggar pemandu mabuk.

Pengerusinya Zainul Rijal Abu Bakar turut mengecam keras insiden kemalangan maut yang didakwa berpunca daripada pemandu mabuk dan menegaskan ia bukan sekadar kemalangan biasa, sebaliknya satu bentuk kecuaian melampau yang tidak boleh dipandang ringan.

“Walaupun nyawa yang hilang tidak dapat dikembalikan, keadilan tetap perlu ditegakkan dan kebajikan keluarga mangsa harus diberi perhatian.

“Konsep ‘diyat’ boleh dipertimbangkan sebagai salah satu mekanisme tambahan bagi membantu meringankan kesusahan yang ditanggung keluarga mangsa akibat kecuaian tersebut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Konsep diyat ialah satu prinsip dalam hukum jenayah Islam yang merujuk kepada bayaran pampasan (ganti rugi) kepada mangsa atau waris mangsa, biasanya dalam kes melibatkan kecederaan atau kematian.

Kenyataan itu susulan insiden kemalangan maut di Klang semalam yang mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat dirempuh pemandu yang menurut polis berada bawah pengaruh arak dan dadah.

Menurut polis, pemandu Honda City berkenaan memandu laju dan berbahaya sebelum memotong beberapa kenderaan, memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah motosikal.

Rakaman video itu tular di alam maya dan mencetuskan kemarahan awam.

Suspek kini direman bagi membantu siasatan bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 melibatkan kesalahan mengambil dadah tanpa kebenaran yang sah dan jika sabit jenayah boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun.

Zainul Rijal berkata, pihaknya juga komited menawarkan khidmat perundangan secara probono kepada keluarga mangsa.

“Bantuan ini merangkumi nasihat guaman, pemantauan prosiding kes serta representasi di mahkamah bagi memastikan keadilan ditegakkan tanpa kompromi.

“Usaha itu juga bertujuan membantu keluarga mangsa mendapatkan pampasan yang dibenarkan di sisi undang-undang,” jelasnya.

Dia turut menegaskan bahawa memandu dalam keadaan mabuk merupakan satu kesalahan jenayah serius dan tidak wajar diberi sebarang kelonggaran.

Katanya, layanan lunak terhadap pelaku hanya akan menghantar mesej yang salah kepada masyarakat serta berisiko mengundang lebih banyak tragedi seumpamanya.

“Pembela menggesa kawalan lebih ketat terhadap pengambilan minuman memabukkan, termasuk menuntut premis yang menjual minuman tersebut mengambil tanggungjawab untuk menghalang pelanggan daripada memandu dalam keadaan mabuk.

“Pembela juga mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas di bawah undang-undang, termasuk memastikan pendakwaan dijalankan secara segera dan menyeluruh serta hukuman setimpal dikenakan.

“Kegagalan berbuat demikian merupakan satu pengkhianatan terhadap keadilan dan keselamatan awam,” kata Zainul Rijal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS