Iran melancarkan sekurang-kurangnya 5,471 serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan pangkalan Amerika Syarikat (AS) dan tapak kritikal di tujuh negara Arab sejak 28 Feb, menurut data rasmi yang dikumpul awal Isnin, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ketika serangan AS-Israel ke atas Iran dan tindakan balas Tehran berterusan, banyak lokasi kritikal di seluruh negara Teluk telah menjadi sasaran.
Berdasarkan maklumat yang dikumpulkan daripada kementerian pertahanan dan pusat maklumat rasmi negara yang terlibat, Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah yang paling terjejas.
Menurut Kementerian Pertahanan UAE, sistemnya memintas 414 peluru berpandu balistik, 15 peluru berpandu jelajah dan 1,914 dron sejak bermulanya serangan.

Kuwait memaklumkan pihaknya memintas 309 peluru berpandu balistik dan 616 dron, menurut kenyataan daripada pusat maklumat kerajaan dan tentera.
Komando Am Angkatan Pertahanan Bahrain berkata 174 peluru berpandu dan 391 dron telah dineutralkan dalam tempoh yang sama.
Kementerian Pertahanan Qatar melaporkan 206 peluru berpandu balistik dan 93 serangan dron menyasarkan negara itu.
Tentera Jordan pula menyatakan 262 serangan peluru berpandu dan dron telah direkodkan semasa konflik manakala menurut Arab Saudi, sekurang-kurangnya 52 peluru berpandu dan 1,006 dron menyasarkan wilayahnya.
Oman memaklumkan negara itu disasarkan oleh 19 dron.
Ketegangan serantau terus memuncak sejak Israel dan AS melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Feb, membunuh lebih 1,340 orang setakat ini, termasuk Pemimpin Tertinggi Iran ketika itu Ayatollah Ali Khamenei.
Iran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel selain Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, menyebabkan kecederaan dan kerosakan pada infrastruktur serta menjejaskan pasaran global dan penerbangan.
- Bernama - Anadolu
