Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) susulan krisis tenaga dan lonjakan harga minyak susulan perang di Asia Barat.
“Saya berharap perbincangan ini akan memberi kelegaan kepada para pemain industri pertanian, khususnya dalam sektor perikanan dan penanaman, yang kini berdepan cabaran besar akibat perkembangan semasa,” kata Chan Foong Hin.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, yang menghadiri sesi taklimat pembentangan Kertas MTEN kepada menterinya Mohamad Sabu pagi tadi, mendedahkan perkara itu di media sosial sebentar tadi.
Kertas itu, kata Chan, memberi fokus khusus kepada kedudukan semasa bekalan makanan negara serta langkah-langkah mitigasi yang perlu diperkukuh.
Perang di Asia Barat sudah berlangsung lebih sebulan.

Terbaru serangan semalaman oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel menyasarkan Tehran serta beberapa bandar lain, dengan infrastruktur bekalan kuasa di ibu negara Iran itu menjadi sasaran utama ketika konflik itu mencetuskan pergolakan dalam pasaran saham dan minyak global.
Kenyataan Trump itu dibuat selepas Pakistan, yang menjadi orang tengah, berkata mereka sedang bersiap sedia untuk menganjurkan rundingan dalam masa terdekat.
Beribu-ribu nyawa terkorban akibat konflik itu, walaupun angkanya saling bercanggah antara sumber AS dan Iran.
Tekanan ekonomi Asia
Dalam kenyataan hari ini, Chan berkata konflik geopolitik di Asia Barat bukan sekadar isu serantau, dan telah mencetuskan kesan rantaian di peringkat global.
Ini, katanya, termasuk krisis tenaga dan lonjakan harga minyak yang memberi tekanan langsung kepada ekonomi negara-negara di Asia.
“Gangguan di Selat Hormuz memberi isyarat jelas bahawa kestabilan bekalan bahan api dunia tidak boleh lagi diambil mudah.
“Implikasinya turut dirasai dalam rantaian bekalan makanan, yang akhirnya memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat,” katanya.

Chan berkata, walaupun negara kita masih mempunyai tahap daya tahan yang baik dalam menghadapi krisis global ini, kita tidak boleh berasa selesa.
“Kerajaan komited untuk terus bersiap siaga, dengan mengambil langkah proaktif bagi mendepani pelbagai kemungkinan termasuk senario terburuk,” katanya.
MTEN merupakan majlis penasihat ekonomi tertinggi kerajaan dan akan bertindak sebagai peneraju dalam perancangan, pelaksanaan dan pemantauan ke atas ekonomi negara secara menyeluruh.
Ia memberikan fokus kepada keputusan-keputusan dasar rentas kementerian dan agensi untuk menyelesaikan isu-isu struktural berkaitan ekonomi mengikut keutamaan kerajaan.
Ia dianggotai oleh timbalan perdana menteri merangkap menteri kemajuan desa dan wilayah serta sembilan lagi menteri, timbalan menteri ekonomi, ketua setiausaha negara, ketua setiausaha perbendaharaan, ketua setiausaha Kementerian Ekonomi, gabenor Bank Negara serta tujuh pakar pelbagai bidang.
