Sekretariat Tangkap Azam Baki sekali lagi merancang mengadakan demonstrasi di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 25 April ini bagi mendesak siasatan lebih menyeluruh dan telus berhubung isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, serta dakwaan salah laku berkaitan isu “mafia korporat”.
Sekretariat yang disokong 32 entiti itu mendakwa kedua-dua isu berkenaan masih belum menerima penjelasan yang jelas, telus dan tuntas daripada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim serta kerajaan Madani.
“Kami berpandangan bahawa jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kabinet Madani hanyalah satu lagi taktik untuk melengah-lengahkan dan mengalih perhatian rakyat daripada terus mengikuti perkembangan siasatan jawatankuasa tersebut.
"Buktinya sehingga kini belum ada apa-apa pengumuman daripada jawatankuasa ini walaupun sudah sebulan mereka ditubuhkan.
“Hari ini pendedahan demi pendedahan dibuat, masih belum kelihatan tindakan konkrit yang diambil yang dapat meredakan kebimbangan rakyat bahawa institusi penguatkuasaan negara benar-benar menjalankan fungsi mereka,” kata Penyelaras Mandiri, Hamdin Nordin dalam satu sidang media di Rumah Mandiri, Petaling Jaya.

Hamdin turut mendakwa terdapat pihak tertentu "menunggang" agensi penguatkuasaan negara termasuk SPRM dan polis bagi kepentingan peribadi, khususnya berkaitan isu mafia korporat.
"Hari ini kita membuat keputusan bahawa kerajaan sudah tidak faham bahasa lagi melainkan bahasa jalan raya. Bahasa jalan rayalah bahasa yang akan menjadi cambuk mendesak mereka melakukan apa yang betul dan tidak membiarkan institusi seperti SPRM terkontang kanting sementelah integriti mereka terhakis hari demi hari.
"Justeru, Sekretariat Undur Azam Baki mengajak semua rakyat untuk turun bersama ke jalan raya pada 25 April 2026 di Dataran Merdeka bagi menunjukkan perasaan nurani serta amarah rakyat terhadap tindakan lembab kerajaan dan Perdana Menteri," jelasnya.
Kumpulan itu menetapkan tiga tuntutan utama iaitu penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan mafia korporat dalam agensi penguatkuasaan negara, mendesak tindakan terhadap Azam Baki serta reformasi menyeluruh SPRM, serta menjamin kebebasan bersuara kepada masyarakat sivil, ahli akademik dan rakyat yang mengkritik isu rasuah serta salah laku.
Sekretariat itu turut memaklumkan akan mengadakan jelajah ke beberapa negeri yang akan diumumkan dalam masa terdekat bagi menggerakkan sokongan terhadap demonstrasi berkenaan.

Ini merupakan kali ketiga demonstrasi #TangkapAzamBaki dirancang diadakan di ibu negara.
Kali pertama berlaku pada 2022 berhubung isu pemilikan saham melibatkan Azam, selepas timbul dakwaan dia memiliki saham dalam dua syarikat pada tahun 2015.
Pada 15 Feb lalu, ratusan turun ke jalan raya di Kuala Lumpur bagi menggesa peletakan jawatan dan penahanan Azam Baki.
Ia susulan skandal pemilikian sahamnya yang terbaru serta dakwaan bahawa pegawai SPRM bersekongkol dengan ahli perniagaan untuk mengambil alih syarikat lain secara paksa seperti dilapor media antarabangsa, Bloomberg.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen berkaitan perkembangan ini.
