Ahli perniagaan Victor Chin, yang mengaitkan seorang ahli parlimen PKR dalam skandal yang digelar “mafia korporat” merupakan antara 10 individu yang ditahan melalui satu operasi polis yang menyasarkan kegiatan pengubahan wang haram.
Perkara itu didedahkan oleh Ketua Pasukan, Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Fazlisyam Abd Majid pada sidang media petang ini.
Operasi yang diberi nama “Ops Viking” itu dijalankan antara 15 Oktober tahun lalu hingga 13 Januari tahun ini.
Polis menahan 10 individu dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan sindiket itu, terdiri tujuh lelaki dan tiga wanita termasuk ahli perniagaan, Victor Chin. Seramai 40 individu lagi telah dipanggil untuk memberi keterangan.
Menurut Fazlisyam, Ops Viking dilaksanakan pada 14 Okt tahun lalu berdasarkan maklumat dan risikan aktiviti pengubahan wang haram sejak 2018, dengan kertas siasatan dibuka pada 25 Okt 2025 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
“Kes ini melibatkan beberapa individu yang disyaki melakukan jenayah pengubahan wang haram dengan pelbagai cara, antaranya membeli atau memiliki syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan syarikat persendirian,” katanya.
Fazlisyam juga berkata Chin yang ditahan pada Disember sebelum ini dan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis, boleh dipanggil semula bagi tujuan merakam percakapan.
Polis turut membeku dan menyita pelbagai aset, termasuk lapan hartanah, 32 kenderaan dan 1,100 unit saham milik dua syarikat sendirian berhad. Turut disita ialah akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) bernilai RM323,588,293, akaun dagangan (RM64,246,417) dan 404 akaun bank berjumlah RM85,624,528.
Fazlisyam berkata siasatan dijalankan secara menyeluruh terhadap mana-mana pihak yang disyaki terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menguruskan wang daripada aktiviti haram.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 27B dan Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Seksyen 176 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 serta Seksyen 221 Akta Syarikat 2016.
Pada 16 Mac lalu, polis menyerbu beberapa premis milik Chin yang didakwa terbabit dalam manipulasi korporat.
Mengulas dakwaan Chin bahawa seorang ahli parlimen meminta bayaran RM10 juta bagi membantu menyelesaikan isu manipulasi korporat, Fazlisyam berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung perkara itu.
Sebelum ini, Chin memberi tempoh sehingga hari ini kepada ahli parlimen PKR berkenaan untuk memulangkan wang RM9.5 juta yang didakwa telah dibayar, dengan amaran bahawa namanya akan didedahkan jika gagal berbuat demikian.
Chin turut menafikan dia terlibat dalam dakwaan “mafia korporat.”
