Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amirul maut ketika keluar beli buku matematik abang long
Diterbitkan:  Mar 30, 2026 7:00 PM
Dikemaskini: 11:12 AM

Amirul Hafiz Omar, penghantar barang yang maut selepas kereta yang didakwa dipandu pemandu mabuk merempuh motosikalnya di Klang semalam, sebenarnya sedang dalam perjalanan untuk tugasan ringkas - membeli buku matematik untuk anak.

“Dia kata nak pergi beli buku matematik abang long sebab buku itu hilang. Dia risau anak tak boleh belajar.

“Dia memang dah beberapa hari sebut nak pergi beli,” isterinya, Nor Nadia Abdul Majid, 32, dipetik media sebagai berkata.

“Mesej terakhir saya terima daripadanya sebelum jam 11 pagi, bertanya mengenai beberapa dokumen. Saya tidak sangka itu kali terakhir kami berbual.”

Balu tiga anak itu mengenang betapa luluh hatinya apabila seorang pegawai polis trafik menghubungi untuk memaklumkan kematian suaminya. 

Dan pada mulanya dia menyangka ia adalah penipuan.

“...tapi apabila dia sebut nama suami saya, saya terus rasa tak sedap hati. Dia beritahu suami saya meninggal, dan pada saat itu, saya tak dapat terima. Hati saya hancur,” katanya dalam tangisan.

Bertekad menuntut keadilan, Nor Nadia melantik peguam untuk memulakan tindakan undang-undang.

"Saya mahu keadilan untuk suami dan anak-anak. Saya tidak mahu kes ini habis begitu saja. Saya dan keluarga amat berharap hukuman lebih berat dikenakan terhadap pemandu mabuk bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.

"Undang-undang sedia ada tidak memadai dengan nyawa suami saya," tambahnya.

Nor Nadia juga mendedahkan bahawa anak-anaknya, yang berusia antara dua hingga sembilan tahun, masih tidak faham bahawa bapa mereka sudah tiada.

"Anak-anak ingat bapa mereka sakit; mereka belum faham. Saya perlu kuat untuk mereka," katanya.

Gurau akan keluar TV

Ibu mangsa, Faridah Ahmad, 56, pula mengenang detik terakhir bersama anaknya dalam satu perhimpunan keluarga baru-baru ini apabila si mati bergurau gambarnya akan keluar di akhbar dan televisyen.

“Tetapi kami tidak sangka gurauan itu akhirnya jadi kenyataan. Sebelum kami pulang, dia peluk saya dan mohon maaf kerana terlalu sibuk cari rezeki untuk keluarga.

"Saya beritahu dia, tak mengapa, saya faham. Namun saya tidak pernah terfikir itu adalah pertemuan terakhir kami," katanya.

Amirul, 33, dikebumikan malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repoh di Perak.

Pemandu yang merempuhnya direman selama empat hari untuk siasatan lanjut. Polis menyatakan pemandu tersebut positif arak dan dadah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS