Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wartawan portal Tamil ditahan, didakwa ceroboh ketika buat liputan Pati

Wartawan portal berita Tamil Thinathanti, Kalidas Subramaniom, ditahan oleh pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim hari ini berhubung dakwaan menceroboh ketika membuat liputan berkenaan pendatang tanpa izin (Pati).

Pengarah portal tersebut, Pavalaselvan Marimuthu, mengesahkan perkara itu dan memaklumkan dia menerima berita mengenai penahanan tersebut kira-kira jam 3 petang tadi.

Menurut Pavalaselvan, Kalidas sebelum ini hadir ke Kulim Hi-Tech Park (KHTP) pada 26 Mac lalu bersama beberapa pengamal media lain, aktivis, serta wakil NGO.

"Kehadiran mereka di sana adalah untuk membuat liputan mengenai dakwaan terdapat lebih 300 Pati yang bekerja tanpa permit sah di kawasan berkenaan.

"Kami bukan sekadar blog atau pempengaruh (influencer). Kami berdaftar dengan Jabatan Penerangan dan mempunyai kad media rasmi. Penahanan ini sangat mengejutkan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pavalaselvan menjelaskan bahawa Kalidas sebelum ini menerima panggilan daripada IPD Kulim untuk hadir memberi keterangan.

"Kelmarin dia dihubungi polis untuk hadir memberi keterangan. Apabila ditanya, polis memaklumkan ia berkaitan dakwaan pencerobohan.

"Namun, selepas dia hadir ke balai hari ini, kami diberitahu polis menahannya untuk siasatan lanjut," katanya.

Difahamkan, selain wartawan tersebut tujuh individu lain turut ditahan berhubung dakwaan menceroboh.

Malaysiakini telah menghubungi pihak IPD Kulim untuk mendapatkan ulasan lanjut dan sedang menunggu maklum balas mereka.

Persatuan media Tamil tuntut pembebasan segera

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Media Tamil Malaysia, S Muthameez Manan, melahirkan rasa kecewa dan terkejut dengan tindakan pihak berkuasa tersebut.

Dia menegaskan bahawa Kalidas hanya menjalankan tugas sebagai wartawan dan tidak sepatutnya ditahan memandangkan dia mempunyai pas media yang sah.

"Saya amat terkejut. Tidak perlu untuk menahannya hanya kerana dia pergi mengumpul maklumat berita.

"Pihak polis sepatutnya memadai dengan merakam kenyataannya sahaja," katanya kepada Malaysiakini.

Muthameez turut mendesak agar wartawan tersebut dibebaskan dengan segera tanpa berlengah.

"Dia mempunyai pas media yang rasmi. Kejadian ini akan dibawa ke perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil," katanya lagi.

Malaysiakini juga sedang menghubungi Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk ulasan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS