Amanah mencadangkan hukuman sebat dilaksanakan terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan sehingga membawa kematian sebagai tambahan hukuman sedia ada iaitu penjara dan denda.
Setiausaha agungnya, Faiz Fadzil berkata, sudah tiba masanya kerajaan menganggap kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian sama serius seperti jenayah rogol, rompak dan dadah.
“Di samping itu, satu langkah pencegahan lebih komprehensif dan tuntas perlu diambil kerajaan dengan mengawal jualan minuman beralkohol yang lebih ketat dari sudut kategori pembeli dan premis jualan.
“Ini bermaksud, larangan menjual atau menghidangkan minuman beralkohol di tempat terbuka perlu dihentikan dan premis yang menjual minuman beralkohol perlu memastikan pembeli atau pelanggan minuman beralkohol tidak memandu sendiri.
“Dalam keadaan ini, premis jualan boleh dikenakan satu kesalahan sekiranya menjual atau menyediakan minuman beralkohol kepada mereka yang memandu sendiri,” katanya dalam kenyataan media.
Bukan sekadar soal pampasan
Sementara itu, seorang Adun Amanah berpendapat hukuman terhadap pesalah mabuk bukan sekadar soal pampasan kepada mangsa kerana tiada nilai ganti rugi yang mampu menggantikan nyawa yang hilang.
Adun Batu Tiga, Danial Al-Rashid menyatakan pandangan berbeza dengan cadangan dilontarkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke agar pesalah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa, selain daripada hukuman penjara yang dikenakan.

“Mohon maaf YB Menteri Anthony Loke, saya berbeza pandangan dengan anda. Cadangan mewajibkan pesalah mabuk membayar ganti rugi mungkin dilihat sebagai satu langkah ke hadapan.
“Namun hakikatnya, tiada nilai ganti rugi yang mampu menggantikan sebuah nyawa yang hilang.
“Isu ini bukan sekadar soal pampasan, tetapi soal keadilan, pencegahan dan ketegasan undang-undang. Kes melibatkan pemandu mabuk telah terlalu banyak meragut nyawa tidak berdosa,” katanya yang juga Timbalan Ketua Pemuda Amanah, di Facebook, hari ini.
Terdahulu Loke menjelaskan Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang merangka cadangan pindaan lanjut terhadap Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang mewajibkan pesalah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa, selain daripada hukuman penjara yang dikenakan.

Menurutnya langkah ini selaras dengan pendirian kerajaan yang tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol mahupun dadah kerana ia jelas membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.
“Pindaan undang-undang yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pesalah telah diluluskan di Dewan Rakyat dan berkuat kuasa pada Oktober 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Akta 333 mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun, serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000, jika disabitkan kesalahan.
Danial berkata, pendekatan yang lebih tegas dan menyeluruh perlu dipertimbangkan bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang.
“Nyawa manusia tidak boleh dinilai dengan wang. Yang lebih penting ialah memastikan hukuman yang setimpal dan langkah pencegahan yang benar-benar berkesan demi keselamatan semua pengguna jalan raya. Perlu hukuman lebih berat kepada pesalah,” tegasnya.
