Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PAS dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pimpinan ahli politik veteran Ibrahim Ali menyelar Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth atas dakwaan dia menyifatkan Islam sebagai musuh.

Hegseth didakwa mengeluarkan kenyataan berbunyi “Whether Sunni or Shia, our enemy is Islam” (tidak kira Sunni atau Syiah, musuh kita adalah Islam) dan “We are not at war with a country, we are at war with a belief system” (Kita tak berperang dengan negara, kita berperang dengan satu sistem kepercayaan).

Namun semakan Malaysiakini mendapati kenyataan Hegseth itu dipetik secara tidak tepat serta mungkin difahami berbeza daripada konteks asal.

Ucapan kontroversi itu sebenarnya dibuat dalam sidang media di Pentagon, AS, pada 19 Mac, ketika menjawab soalan wartawan berkaitan peranan Iran dalam konflik di Iraq dan Afghanistan sebelum ini.

Pengamal media itu juga bertanya berkaitan dakwaan bahawa Iran membekalkan senjata kepada Taliban.

Menjawab soalan, Hegseth berkata Iran sejak sekian lama menyasarkan AS dan sekutunya, termasuk melalui sokongan terhadap kumpulan bersenjata di Iraq dan Afghanistan.

Antara bangunan Israel yang runtuh akibat perang di Asia Barat

Dia menjelaskan bahawa penggunaan senjata seperti explosively formed penetrator (EFP) bukan sekadar hasil improvisasi kumpulan militan, tetapi melibatkan sokongan teknologi dan kepakaran daripada negara.

Dalam konteks itu, dia mendakwa Iran sanggup menyokong mana-mana kumpulan yang memusuhi Amerika Syarikat. 

Selepas itulah dia mengeluarkan kenyataan yang mengundang kemarahan PAS dan Putra itu. Hegseth bagaimanapun tidak menyebut Islam sebagai musuh tetapi menggunakan perkataan “Islamist”.

Dalam banyak konteks keselamatan antarabangsa, istilah “Islamist” sering digunakan merujuk kepada kumpulan militan atau ekstremis, walaupun penggunaannya sering dipertikai kerana boleh mengelirukan dan menyamaratakan pelbagai gerakan yang berbeza.

Berikut apa disebut oleh Hegseth:

Name the Islamist enemy whether they are Sunni or Shia because this is a Shia regime. Sunni or Shia and Iran's been willing to harbor them as long as that group is willing to try to kill Americans.

(Namakan musuh Islamis sama ada mereka Sunni atau Syiah kerana ini adalah rejim Syiah. Sunni atau Syiah dan Iran sanggup melindungi mereka selagi kumpulan itu sanggup cuba membunuh rakyat Amerika.)

Salah faham berkaitan perkataan sebenar digunakan mungkin kerana terdapat media sosial yang membuat laporan salah. 

Satu saluran Youtube di India misalnya meletakkan kapsyen berbunyi “Our enemy is Islam” (Musuh kita adalah Islam) terhadap video ucapan Hegseth itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS