Ratusan agensi pengambilan pekerja di Bangladesh mengadakan demonstrasi besar-besaran bagi menuntut pembongkaran sindiket yang didakwa memonopoli pasaran buruh ke Malaysia serta mendesak pendakwaan terhadap tokoh-tokoh utama yang terlibat.
Kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai "Front Oikya Anti-Sindiket Baira" itu berkumpul dalam satu rantaian manusia berhampiran Kelab Akhbar Kebangsaan pada 29 Mac, bagi menyuarakan bantahan terhadap amalan rasuah dan gangguan dalam sektor eksport tenaga kerja.
Bercakap kepada Malaysiakini, Altaf Khan mendedahkan bagaimana sindiket berkenaan menggunakan kuasa politik untuk memeras ugut pemilik lesen pengambilan pekerja yang sah.
"Walaupun terdapat lebih 2,000 lesen pengambilan pekerja, sebuah kumpulan sindiket telah dibentuk di bawah perlindungan kerajaan autokratik sebelum ini.
"Mereka memaksa kami pemilik lesen yang sah untuk membayar 'bayaran sindiket' sebanyak BDT 152,000 hingga BDT 160,000 (sekitar RM5,500 hingga RM5,800) bagi setiap pekerja untuk surat tawaran yang kami bawa dari Bangladesh," katanya.

Altaf mendedahkan bahawa dia sendiri terpaksa membayar rasuah berjumlah BDT 15.4 juta (sekitar RM558,000) bagi membolehkan 102 pekerja dihantar ke Malaysia.
"Saya pernah memfailkan writ petisyen di Mahkamah Tinggi semasa era kerajaan terdahulu, tetapi disebabkan tekanan dan ancaman, saya dipaksa menarik balik writ tersebut pada waktu itu," tambahnya lagi.
Terdahulu, kumpulan yang membuat demostrasi tersebut mendesak Perdana Menteri Bangladesh Tarique Rahman untuk memastikan proses pengambilan pekerja dilakukan secara telus tanpa campur tangan sindiket di Malaysia, selaras dengan amalan 14 negara penghantar buruh yang lain.
"Kami menuntut kerajaan segera menangkap semua yang terlibat dan memastikan hukuman keras diberikan supaya pada masa hadapan, tiada siapa yang berani menghisap darah rakyat miskin ini lagi," kata Altaf.
Untuk rekod, pada 2022 Kerajaan Malaysia memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Bangladesh dengan melantik 25 (Bangladesh Recruitment Agency)BRA utama dan 250 sub-ejen.
Bagaimanapun, terdapat dakwaan monopoli dalam pengambilan pekerja dari Bangladesh
Kebimbangan itu dibangkitkan Persatuan Agensi Pengambilan Pekerja Antarabangsa Bangladesh (Baira) yang tidak senang dengan jumlah itu.
Baira juga meminta peluang sama rata diberikan kepada hampir 1,600 ahlinya untuk dibenarkan menghantar pekerja ke Malaysia.
