Ribuan anggota tentera daripada Divisyen Airborne ke-82 dari Tentera Darat AS mula tiba di Asia Barat, menurut dua pegawai AS kepada Reuters pada Isnin, ketika Presiden Donald Trump mempertimbangkan langkah seterusnya dalam perang menentang Iran.
Reuters sebelum ini melaporkan pada 18 Mac lalu bahawa pentadbiran Trump sedang mempertimbangkan untuk mengerahkan ribuan lagi tentera tambahan AS ke Asia Barat, satu langkah yang akan memperluas pilihan termasuk kerahan pasukan ke wilayah Iran.

Anggota payung terjun tersebut, yang berpangkalan di Fort Bragg, North Carolina, menambah jumlah ribuan pelaut, Marin dan pasukan Operasi Khas sedia ada yang dihantar ke wilayah itu. Sepanjang hujung minggu lalu, kira-kira 2,500 anggota Marin tiba di Asia Barat.
Pegawai berkenaan, yang bercakap dengan syarat tidak mahu dikenali, tidak menyatakan secara khusus lokasi anggota tentera itu dikerahkan, namun langkah tersebut sememangnya dijangkakan.
Tambahan tentera darat itu termasuk elemen daripada ibu pejabat Divisyen Airborne ke-82, beberapa unit logistik dan sokongan lain, serta satu pasukan tempur briged.
Tiada keputusan dibuat untuk menghantar tentera ke Iran, namun mereka akan membina kapasiti untuk potensi operasi masa hadapan di wilayah tersebut, kata salah satu sumber.
Pilihan untuk Trump
Anggota tentera itu boleh digunakan untuk beberapa tujuan dalam perang Iran, termasuk percubaan untuk merampas Pulau Kharg, yang merupakan hab bagi 90 peratus eksport minyak Iran.
Awal bulan ini, Reuters melaporkan terdapat perbincangan dalam pentadbiran Trump mengenai operasi untuk mengambil alih pulau tersebut. Langkah sedemikian sangat berisiko memandangkan Iran boleh menyerang pulau itu dengan peluru berpandu dan dron.

Reuters sebelum ini melaporkan pentadbiran itu berbincang mengenai penggunaan pasukan darat di Iran untuk mengeluarkan uranium yang diperkaya tinggi, walaupun pilihan itu bermakna tentera AS perlu berada lebih jauh di Iran untuk jangka masa lebih lama bagi cuba menggali bahan yang berada jauh di bawah tanah.
Perbincangan dalaman pentadbiran Trump juga termasuk potensi menempatkan tentera AS di Iran bagi menjamin laluan selamat untuk kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz. Walaupun misi itu akan dilaksanakan terutamanya melalui pasukan udara dan laut, ia juga boleh bermakna kerahan tentera AS ke pesisir pantai Iran.
Trump berkata pada Isnin bahawa Amerika Syarikat sedang dalam rundingan dengan "rejim yang lebih munasabah" untuk menamatkan perang di Iran, namun dia mengulangi amarannya kepada Tehran supaya membuka Selat Hormuz atau berhadapan risiko serangan AS ke atas telaga minyak dan loji janakuasa.
Sebarang penggunaan tentera darat AS – walaupun untuk misi terhad – boleh mendatangkan risiko politik yang besar kepada Trump, memandangkan sokongan awam Amerika yang rendah terhadap kempen Iran dan janji pra-pilihan raya Trump sendiri untuk mengelakkan AS daripada terjerat dalam konflik baharu di Asia Barat.

Sejak operasi bermula pada 28 Februari, AS melancarkan serangan terhadap lebih 11,000 sasaran. Lebih 300 tentera AS cedera dan 13 anggota perkhidmatan terkorban sebagai sebahagian daripada Operasi Epic Fury.
