Indonesia mengeluarkan surat saman kepada gergasi teknologi Meta dan Google kerana gagal mematuhi peraturan baharu negara itu, PP Tunas, yang bertujuan melindungi kanak-kanak dalam talian dan berkuat kuasa pada 28 Mac.
Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Meutya Hafid berkata kedua-dua syarikat didapati melanggar Peraturan Menteri No. 9 Tahun 2026, peraturan yang diterbitkan di bawah PP Tunas kerana tidak menguatkuasakan had umur minimum pengguna 16 tahun di platform mereka termasuk Facebook, Instagram, Threads dan YouTube.
“Kepada kedua-dua entiti itu, kerajaan hari ini (30 Mac) telah menghantar surat saman sebagai sebahagian daripada pelaksanaan sekatan pentadbiran selaras dengan peruntukan yang terpakai,” katanya dalam kenyataan video yang dimuat naik di akaun Instagram rasmi kementerian pada lewat Isnin.
Indonesia secara rasmi melarang penggunaan media sosial bagi kanak-kanak di bawah umur 16 tahun apabila ia mula melaksanakan PP Tunas pada 28 Mac lepas, satu dasar yang mewajibkan penyahaktifan secara berperingkat akaun milik pengguna bawah umur pada platform berisiko tinggi.
Susulan tempoh peralihan selama satu tahun sejak peraturan itu ditandatangani oleh Presiden Prabowo Subianto, Meutya berkata hanya X dan Bigolive didapati mematuhi peraturan berkenaan selepas melaksanakan langkah mengehadkan akses bagi pengguna bawah 16 tahun.
Beliau berkata kerajaan turut mengeluarkan surat amaran kepada TikTok dan Roblox yang didapati belum mematuhi sepenuhnya peraturan, namun menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama.
“Jika kedua-dua platform ini (TikTok dan Roblox) selepas ini masih gagal menunjukkan pematuhan penuh, kerajaan akan menyesuaikan langkahnya termasuk mengeluarkan surat saman kepada kedua-dua platform berkenaan,” katanya.
Beliau berkata Indonesia akan mengutamakan kerjasama dengan platform digital yang menghormati kerangka perundangannya serta menunjukkan komitmen melangkaui sekadar melihat negara itu sebagai pasaran semata-mata, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dengan menangguhkan akses sehingga mereka dianggap bersedia.
Menyifatkan dasar itu sebagai langkah besar, beliau menekankan jumlah populasi digital Indonesia yang besar termasuk kira-kira 70 juta pengguna di bawah umur 16 tahun, sambil menegaskan bahawa kerajaan memahami pelaksanaan dan penguatkuasaan peraturan itu bukan usaha yang boleh diselesaikan dalam tempoh satu atau dua hari.
“Bagaimanapun, kerajaan percaya bahawa ini merupakan langkah yang tepat ke arah yang betul. Peraturan serupa juga telah dilaksanakan di banyak negara lain termasuk di Asia, Asia Pasifik, Eropah, Asia Barat dan rantau lain,” katanya.
Meutya turut menggesa orang ramai, khususnya ibu bapa dan kanak-kanak, supaya memainkan peranan aktif dalam memantau serta melaporkan platform yang tidak mematuhi peraturan, susulan kebimbangan terhadap tahap penggunaan digital yang tinggi di Jakarta, dengan purata masa skrin harian mencecah tujuh hingga lapan jam.
- Bernama
