Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Berbasikal ke tempat kerja: Kenapa ketawa, tanya Ahmad

Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan mempertahankan cadangan penggunaan basikal sebagai pengangkutan alternatif bagi menghadapi situasi sukar ketika harga bahan bakar terus memuncak.

Ahmad menjelaskan berbasikal adalah kaedah yang sihat untuk ke tempat yang dekat dan bukannya melibatkan ke lokasi jauh.

"Kenapa ketawa? Teringat cadangan saya (semalam) basikal adalah kaedah yang sihat untuk ke tempat yang dekat.

"Bukan saya cadang naik basikal dari Pontian ke JB (Johor Bahru) atau Putrajaya ke KL (Kuala Lumpur).

“Maksud saya dalam bandar Pontian atau dalam bandar Putrajaya.

"Ada tujuh cadangan, yang lain tak nak beri komen ke?," katanya.

Sebelum ini, Ahmad melalui satu hantaran di media sosialnya mengemukakan tujuh cadangan bagi menangani kenaikan harga minyak, termasuk menggalakkan penggunaan basikal bagi perjalanan jarak dekat.

Bagaimanapun cadangan itu mendapat kecaman pemimpin politik pembangkang serta warga net di media sosial.

Cadangan dikemukakan Ahli Parlimen Pontian itu adalah sebagai pendekatan langkah pendek dan sederhana.

"Beri insentif kepada carpooling iaitu berkongsi kenderaan ke tempat kerja.

"Galakkan penggunaan pengangkutan awam daripada mengguna kenderaan sendiri.

"Basikal adalah kaedah yang sihat untuk ke tempat yang dekat," tulisnya dalam satu hantaran di Facebooknya berhubung tujuh saranan berkenaan.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff, antara pemimpin politik yang mengkritik cadangan Ahmad itu.

Menurut Nurul Islam, gesaan supaya orang ramai menaiki basikal bagi menangani kesan kenaikan harga petrol dan diesel dianggap tidak realistik dalam menyelesaikan isu kos sara hidup rakyat.

Tak lihat memang tak tahu

Tambahnya, pendekatan sedemikian lebih kepada menunjukkan kegagalan dalam memahami realiti kehidupan rakyat berdepan isu kenaikan harga petrol dan diesel.

“Rakyat tidak perlukan idea sebegini, sebaliknya mahukan dasar yang serius dan berkesan bagi menangani tekanan ekonomi,” katanya di Facebook semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata di negara maju berbasikal adalah perkara biasa dan meminta pengkritik supaya mengkaji terlebih dahulu, bukannya menghentamnya tanpa mengetahui fakta sebenarnya.

"Di negara maju yang saya pernah pergi seperti China, Jepun dan Korea Selatan, basikal sangat banyak digunakan walau di tengah bandar raya besar.

"Ia agak memeranjatkan saya melihat budaya sihat dan tiada minyak, tiada pencemaran begitu. Di negara-negara Eropah memang lagi banyak dan sudah lama digunakan.

"Kepada yang tidak pernah melihat, tidak pernah mengkaji, memanglah tidak tahu," ujarnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS