Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harga minyak boleh cecah AS$150 setong jika Hormuz kekal tutup - JPMorgan
Diterbitkan:  Mar 31, 2026 5:39 PM
Dikemaskini: 10:07 AM

Harga minyak boleh melonjak sehingga AS$150 setong sekiranya Selat Hormuz terus ditutup untuk tempoh sebulan lagi, menurut Ketua Pakar Ekonomi bank Amerika, JPMorgan, Bruce Kasman.

"Senario di mana selat itu kekal ditutup untuk tambahan sebulan lagi adalah selari dengan kenaikan harga minyak ke arah AS$150 setong serta kekangan bekalan tenaga terhadap pengguna industri," kata Kasman sebagaimana dipetik oleh akhbar Britain, The Times.

Pada 28 Feb, Amerika Syarikat (AS) dan Israel mula melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran, termasuk Tehran, yang menyebabkan kemusnahan dan kehilangan nyawa orang awam. Iran pula melakukan serangan balas ke atas wilayah Israel, selain menyasarkan pangkalan tentera AS di Timur Tengah.

Sementara itu, aktiviti perkapalan melalui Selat Hormuz - laluan utama bagi pembekalan minyak dan gas asli cecair dari negara-negara Teluk Parsi ke pasaran global - dilaporkan terhenti sepenuhnya. Kesannya, harga bahan api kini mencatatkan kenaikan di kebanyakan negara di seluruh dunia.

Jawatankuasa Parlimen Iran lulus rancangan tol

Sementara itu, Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan melaporkan sebuah jawatankuasa utama dalam Parlimen Iran meluluskan rancangan pengenaan tol bagi kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz.

Langkah itu, yang telah melepasi Suruhanjaya Keselamatan Nasional, menggariskan siri peraturan baharu yang mengawal selia laluan air strategik berkenaan, termasuk peruntukan kewangan yang mewajibkan kapal membayar yuran transit dalam mata wang nasional Iran, rial.

Memetik laporan Agensi Berita Fars, ahli suruhanjaya Mojtaba Zarei berkata rang undang-undang itu turut merangkumi sekatan yang melarang kapal-kapal yang mempunyai kaitan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel daripada melalui selat itu.

Peruntukan tambahan itu juga akan melarang akses bagi negara-negara yang menyertai sekatan unilateral terhadap Iran.

Perundangan berkenaan perlu melepasi undian penuh parlimen sebelum disemak oleh Majlis Pengawal dan ditandatangani oleh presiden untuk dikuatkuasakan sebagai undang-undang.

Ketegangan serantau terus memuncak sejak Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb, yang mengorbankan lebih 1,340 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.

Iran telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq, serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, sehingga mengakibatkan kemalangan jiwa dan kerosakan infrastruktur, selain menjejaskan pasaran global serta sektor penerbangan


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS