ULASAN | Kes pemandu mabuk bukan lagi isu lalu-lintas semata-mata tetapi menuntut pendekatan undang-undang yang lebih tegas dan konsisten.
Kematian seorang penunggang motosikal akibat dirempuh pemandu mabuk di Klang baru-baru ini sekali lagi menimbulkan persoalan besar terhadap keberkesanan sistem undang-undang negara dalam melindungi nyawa manusia.
Tragedi seperti itu bukan lagi sesuatu yang luar biasa, sebaliknya semakin menjadi pola yang berulang.
Lebih membimbangkan, dalam banyak kes lain yang dilaporkan sebelum ini, pelanggaran turut disusuli dengan elemen langgar lari dan mangsa ditinggalkan tanpa bantuan.
Walaupun kes di Klang ini masih dalam siasatan lanjut, apa yang terjadi menunjukkan satu trend yang tidak boleh dipandang ringan.
Malaysia sebenarnya mempunyai kerangka undang-undang yang jelas khususnya Seksyen 44, 45A dan 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara yang berat, denda yang tinggi serta pembatalan lesen.
Namun begitu, kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk masih berulang.
Keadaan itu menimbulkan satu persoalan yang tidak boleh dielakkan iaitu jika undang-undang sedia ada sudah cukup tegas, mengapakah ia masih lagi gagal dicegah?
Jawapannya mungkin terletak pada cara kita sendiri memahami kes berkenaan.
Bukan kecuaian biasa
Selagi kes pemandu mabuk dilihat sebagai “kemalangan jalan raya” selagi itulah tahap keseriusan akan terus berada pada tahap rendah.
Istilah “kemalangan” itu sendiri mengaburkan hakikat bahawa tindakan tersebut berpunca daripada keputusan yang dibuat secara sedar.
Dalam kedua-dua tradisi undang-undang - Common Law dan undang-undang Islam - prinsip asasnya adalah jelas: mabuk secara sukarela tidak menghapuskan tanggungjawab jenayah.
Seseorang yang memilih untuk mengambil alkohol dan kemudian memandu telah meletakkan dirinya dalam keadaan berisiko tinggi terhadap nyawa orang lain.
Dalam Common Law, konsep seperti recklessness dan gross negligence mengiktiraf bahawa seseorang boleh dipertanggungjawabkan apabila dia secara sedar mengambil risiko yang boleh membawa kepada kematian.

Ini bermaksud pemanduan dalam keadaan mabuk bukan sekadar kecuaian biasa, tetapi suatu bentuk pengambilan risiko yang serius terhadap nyawa manusia.
Undang-undang Islam pula memberikan satu dimensi tambahan yang lebih tegas. Dalam kerangka syariah, konsep niat (qasd) menegaskan bahawa tanggungjawab jenayah tidak hanya dinilai pada saat perbuatan berlaku, tetapi bermula daripada keputusan awal yang membawa kepada perbuatan tersebut.
Dalam kes mabuk sukarela (voluntary intoxicant), pelaku tidak boleh mendakwa bahawa dia tidak sedar kerana hakikatnya dia secara sedar memilih untuk berada dalam keadaan tersebut.
Dengan itu, mens rea (niat jahat) tidak hilang, sebaliknya berpunca daripada keputusan awal untuk mabuk itu sendiri.
Jenayah pada nyawa manusia
Selain itu, prinsip hifz al-nafs menekankan bahawa nyawa manusia mesti dilindungi secara maksimum. Apa-apa tindakan yang mendedahkan nyawa kepada risiko maut - walaupun tanpa niat membunuh - tetap dianggap sebagai pelanggaran serius terhadap prinsip ini.
Dalam konteks yang lebih luas, apabila kes pemandu mabuk turut melibatkan elemen langgar lari, tahap kesalahan menjadi lebih berat.
Tindakan meninggalkan mangsa tanpa bantuan bukan saja menunjukkan kecuaian, tetapi satu bentuk ketidakpedulian yang serius terhadap nyawa manusia.
Sehubungan itu, sudah tiba masanya Malaysia mempertimbangkan satu reformasi yang lebih menyeluruh.
Kes pemandu mabuk yang menyebabkan kematian perlu dimasukkan ke Kanun Keseksaan sebagai jenayah terhadap nyawa manusia.

Langkah ini bukan sekadar perubahan teknikal, tetapi perubahan cara kita melihat kes tersebut - daripada kemalangan kepada satu bentuk perbuatan yang secara langsung meragut nyawa.
Pada masa yang sama, satu persoalan yang lebih besar perlu dibangkitkan secara jujur iaitu jika seseorang secara sedar memilih untuk mabuk, kemudian memandu dan akhirnya menyebabkan kematian, adakah hukuman sedia ada benar-benar setimpal?
Jika prinsip undang-undang diambil secara konsisten - baik dalam Common Law mahupun syariah – jawapannya adalah jelas iaitu mens rea tetap wujud melalui mabuk sukarela.
Oleh itu, tidak keterlaluan untuk menyatakan hukuman mati sekurang-kurangnya perlu dipertimbangkan bagi kes seperti ini. Cadangan ini bukan untuk semua kes, tetapi sebagai satu pilihan dalam spektrum hukuman bagi kes yang benar-benar ekstrem.
Mungkin kekal lemah
Pendekatan ini selari dengan prinsip Common Law yang mengiktiraf tahap kesalahan yang berbeza, serta prinsip undang-undang Islam yang menilai kes berdasarkan niat dan kesan.
Dalam kerangka undang-undang Islam, prinsip seperti qisas memperlihatkan bahawa dalam keadaan tertentu, kehilangan nyawa boleh membawa kepada hukuman paling berat.
Ia bukan reaksi emosional, tetapi sebagai manifestasi keadilan yang setimpal, tertakluk kepada syarat dan penilaian yang ketat.
Jika dilihat dalam konteks ini, rujukan kepada qisas bukanlah satu cadangan untuk menggantikan sistem sedia ada, tetapi menjadi asas prinsip yang boleh memperkukuh kefahaman kita tentang tanggungjawab terhadap nyawa manusia.
Akhirnya, isu ini bukan sekadar persoalan undang-undang, tetapi persoalan nilai. Selagi kita terus melihat kes seperti ini sebagai kemalangan biasa, selagi itu pendekatan kita akan kekal lemah.
Namun, jika kita berani mengiktirafnya sebagai jenayah terhadap nyawa manusia, maka sistem undang-undang juga perlu berubah untuk mencerminkan hakikat tersebut.
Persoalan kini bukan lagi sama ada kita boleh bertindak, tetapi sama ada kita berani bertindak sebelum lebih banyak nyawa menjadi korban.
WAN MOHD AZZIADI WAN ABD JALIL ialah Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Malaysia (Terengganu).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
