Kerajaan menafikan dakwaan portal berita yang menuduh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, meminta hasil siasatan isu pemilikan saham pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, ditangguhkan.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar berkata laporan Bloomberg pada 30 Mac lalu yang membuat dakwaan tersebut adalah tidak benar.
“Kerajaan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Bloomberg pada 30 Mac lalu berkaitan tuduhan bahawa perdana menteri meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki,” katanya.
Menurut Shamsul Azri, selaras dengan pembentangan jawatankuasa siasatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu, prosiding dimulakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Katanya prosiding itu mempunyai proses dan tatacara yang perlu dipatuhi, justeru sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Shamsul Azri berkata demikian sebagai mengulas laporan Bloomberg yang memetik sumber tidak dinamakan yang mendakwa Anwar meminta “orang penting” dalam siasatan untuk menangguhkan pendedahan tersebut.
Penangguhan tersebut didakwa bertujuan untuk membolehkan agensi penguatkuasaan undang-undang menyelesaikan siasatan berasingan terhadap dakwaan skandal “mafia korporat” yang membabitkan SPRM, dan untuk menyemak semula perkara itu dalam kabinet.
Bloomberg juga mendakwa bahawa Anwar merancang untuk membiarkan Azam berundur selepas kontraknya tamat pada Mei ini.
Mengulas lanjut, Shamsul Azri turut memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan lanjut terhadap Bloomberg berhubung dakwaan tersebut.
“Dalam hal ini juga, Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap Bloomberg terkait dengan dakwaan yang berkenaan,” tambahnya.
Isu pemilikan saham melibatkan Azam sebelum ini mencetuskan perhatian umum dan perbahasan mengenai integriti serta tadbir urus dalam kalangan pegawai kanan kerajaan.
Semalam, PAS menuntut jawapan daripada kerajaan dan mencabar Anwar untuk menyaman Bloomberg jika laporan itu terbukti tidak tepat.
Azam – yang tempoh perkhidmatannya dilanjutkan sebanyak tiga kali oleh Anwar – berhadapan penelitian awam selepas Bloomberg dan Malaysiakini melaporkan bahawa dia memiliki saham penting dalam dua syarikat melebihi had yang dibenarkan oleh sektor perkhidmatan awam.
Kerajaan kemudian menubuhkan jawatankuasa khas yang diketuai Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar untuk meneliti pematuhan dan keteraturan 17.7 juta saham yang dibeli Azam pada harga sekitar RM1.5 juta.
Kabinet menerima dan membincangkan dapatan siasatan jawatankuasa itu pada 11 Mac tetapi tidak mendedahkannya setakat ini.
SPRM mengeluarkan penafian tegas, menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan mendakwa ia adalah sebahagian daripada kempen memburuk-burukkan pegawai mereka yang bertujuan menjejaskan reputasi agensi berkenaan.
