Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mengeluarkan amaran tegas akan menyasarkan syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat (AS) seperti Apple, Google dan Meta jika lebih ramai pemimpin utama Iran dibunuh dalam serangan disasarkan Washington.
Menurut media Iran dan antarabangsa, IRGC mendakwa, syarikat teknologi AS memainkan peranan penting dalam membantu proses pengesanan serta penjejakan sasaran bagi operasi pembunuhan, sekali gus menjadikan mereka 'sasaran sah' bagi tindakan balas.
"Syarikat-syarikat ini, bermula jam 8 malam (1630 GMT) waktu Tehran pada Rabu, 1 April, perlu menjangkakan kemusnahan unit berkaitan mereka sebagai galang ganti bagi setiap pembunuhan di Iran," kata pengawal itu dalam satu kenyataan yang menyenaraikan 18 nama syarikat yang didakwa bersubahat.
"Kami menasihatkan pekerja institusi-institusi ini untuk segera meninggalkan tempat kerja mereka bagi memelihara nyawa mereka," tambah kenyataan itu.
Dalam kenyataan itu, IRGC menamakan 18 syarikat gergasi Amerika Syarikat merangkumi sektor teknologi, perisian, kewangan, penerbangan dan pembuatan.
Selain Apple, Google dan Meta, turut disenaraikan ialah Microsoft, Intel, IBM, Oracle, Tesla, Hewlett Packard, Dell, Cisco, Nvidia, Palantir, JP Morgan, General Electric dan Boeing.
"Syarikat yang mengambil bahagian secara aktif dalam rancangan pengganas akan menghadapi tindakan timbal balik bagi setiap pembunuhan terancang," kata kenyataan tersebut.
Ancaman itu muncul ketika Presiden AS Donald Trump mengatakan dia sedang menjalankan diplomasi yang bertujuan untuk menamatkan konflik, sambil pada masa yang sama mengancam untuk memperhebatkan kempen AS-Israel terhadap republik Islam itu.
Dalam amaran tambahan, IRGC menggesa pekerja syarikat-syarikat teknologi AS di Asia Barat supaya segera meninggalkan tempat kerja mereka dan penduduk yang tinggal dalam lingkingan satu kilometer dari pejabat syarikat berkenaan berpindah ke kawasan lebih selamat.
Langkah itu menggambarkan kemungkinan peningkatan ketegangan yang kini turut menjangkau aset korporat dan bukan lagi terhad kepada sasaran ketenteraan.
Ancaman IRGC dikeluarkan susulan pembunuhan beberapa tokoh kanan Iran sejak perang bermula pada 28 Februari, termasuk Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, Komander utama IRGC, Mohammad Pakpour dan Ketua keselamatan Iran, Ali Larijani.
AS dan Israel sebelum ini mendakwa operasi mereka bertujuan melemahkan kepimpinan ketenteraan Iran.
Namun, penganalisis antarabangsa menyatakan republik itu masih menunjukkan keupayaan untuk bertindak balas walaupun kehilangan beberapa pemimpin utama.
