Balu Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut dalam kemalangan akibat dirempuh pemandu mabuk Ahad lalu mahu tertuduh membayar kesalahan itu dengan nyawanya sendiri.
Nor Nadia Abdul Majid, 32, yang berjubah gelap, kelihatan sugul ketika berada di galeri awam di Mahkamah Majistret Klang hari ini bersama peguam Mohd Faizi Che Abu.
“Nyawa dibalas nyawa,” katanya ringkas ketika ditemui wartawan.
“...itu sahaja,” katanya sambil tunduk menahan sebak.

Semalam, dalam nada yang sama hiba namun penuh keberanian, Nor Nadia menegaskan, dia akan menuntut keadilan sepenuhnya atas kematian suaminya, Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut selepas dilanggar seorang pemandu dipercayai di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
“Saya nak ambil tindakan… saya kena berjuang untuk keadilan anak-anak. Saya tetap nak saman. Kalau boleh, beratkan lagi hukuman… penjara tak cukup.
“Dia dah hilangkan nyawa… saya dah hilang tempat bergantung. Anak-anak kecil lagi… saya fikir anak-anak sahaja sekarang,” katanya lagi.
Nor Nadia hadir bagi mengikuti perbicaraan R Saktygaanapathy, 28, yang didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada suaminya, di Jalan Raya Barat di Klang pada 11.47 pagi, 29 Mac lalu.

Dia dijangka memohon menjadi peguam pemerhati dalam prosiding kes pendakwaan terhadap tertuduh dalam kes itu.
Pertuduhan terhadap Saktygaanapathy dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak lebih 40 tahun dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Khartiyayini kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Bagi pertuduhan lain di mahkamah sama, Saktygaanathy mengaku bersalah memberikan diri sendiri dadah dipercayai jenis Benzo dan THC ke dalam badannya di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada 3.30 petang, 29 Mac lepas.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan juga boleh dihukum perintah pengawasan tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin tidak menawarkan ikat jamin bagi kes tersebut kerana tertuduh turut berdepan dengan kes bunuh.
Saktygaanathy tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 3 Jun depan bagi sebutan semula kesemua kes serta penyediaan laporan patologi.
Terdahulu, tertuduh yang memakai baju-T berkolar berwarna putih dan berseluar pendek kelabu tiba di pekarangan Mahkamah Klang pada 8.50 pagi dengan kawalan ketat anggota polis.
