Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bos Mydin seru orang ramai tak panik susulan spekulasi harga barang akan naik

Di tengah-tengah kebimbangan bahawa konflik yang berterusan di Asia Barat boleh meningkatkan harga makanan, bos Mydin, Ameer Ali Mydin, menggesa pengguna Malaysia untuk bertenang.

Walaupun tidak menolak kemungkinan kenaikan harga, dia berkata kesan sedemikian dijangka tidak akan berlaku serta-merta untuk barangan makanan.

Menurut Ameer, pembekal utama biasanya menyimpan rizab yang mencukupi untuk mengekalkan bekalan mentah selama sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan dan mereka tidak boleh menaikkan harga secara sewenang-wenangnya.

“Jadi kemungkinan mereka menaikan harga sewenang-wenangnya saya rasa susah pada masa sekarang.

“Tetapi ada kemungkinan harga naik lagi dua bulan contohnya. Saya rasa bulan April ini tak ada masalah.

"Ia mungkin bermula pada bulan Mei atau Jun jika perang masih berterusan pada masa itu," kata pengarah urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd itu dalam temu bual telefon semalam.

Malaysiakini menghubungi Ameer untuk mendapatkan komen selepas terdapat dakwaan kekurangan susu segar di kedai runcit tertentu, yang dispekulasikan sebagai kesan tidak langsung daripada perang.

Sebuah kedai kopi menyiarkan di Threads mendakwa pembekalnya tidak lagi boleh menyediakan susu dalam botol dua liter, didakwa disebabkan oleh kekurangan bahan mentah untuk pengeluaran botol, dan harga dijangka meningkat.

Ameer menambah bahawa pembekal multinasional biasanya terikat dengan kontrak jangka panjang, dengan harga ditetapkan untuk tempoh enam bulan hingga setahun.

Pengecualian mungkin timbul untuk bahan mentah yang diperoleh dari negara yang terjejas secara langsung oleh perang Iran, terutamanya di Timur Tengah.

Walau bagaimanapun, ahli perniagaan itu menyatakan bahawa kes sedemikian adalah terhad, kerana Kebanyakan pembekal mendapatkan bekalan mereka dari China, India atau Vietnam.

Menurut Ameer, syarikatnya, yang mempunyai lebih 71 cawangan di seluruh negara, belum menerima sebarang pemberitahuan daripada pembekal untuk menaikkan harga mereka.

Dia berkata harga beberapa barangan makanan seperti ayam segar telah menurun baru-baru ini.

Bercakap tentang ramalan kenaikan harga akibat perang, Ameer berkata mereka telah dimaklumkan tentang kemungkinan kenaikan kos logistik untuk barangan import antara 10 hingga 20 peratus.

“Tetapi kalau harga logistik naik sepuluh atau dua puluh peratus tak mungkin harga barang pun naik sepuluh atau dua puluh peratus. Betul?

“Sebab dia untuk macam orang kata harga gula naik sepuluh sen sekilogram tak mungkin teh tarik juga naik sepuluh sen. Dalam teh tarik itu gula dua sudu saja. Jadi kita kena tengok dalam perspektif.

"Tidak sepatutnya ada spekulasi tentang kenaikan harga kerana spekulasi akan mengakibatkan pembelian panik, yang seterusnya akan menyebabkan kekurangan barangan dan mengakibatkan kenaikan harga," kata Ameer.

Perang Iran yang bermula pada 28 Februari apabila Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas negara Asia Barat itu telah mencetuskan kebimbangan ekonomi global.

Ini disebabkan oleh gangguan bekalan minyak global apabila Iran membalas dengan menutup Selat Hormuz, yang merupakan laluan kira-kira satu perlima daripada minyak dan gas dunia setiap tahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS