Mahkamah Persekutuan – dalam keputusan majoriti – hari ini menolak rayuan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mencabar penyahwartaan Bukit Cherakah sebagai hutan simpan.
Dua NGO tersebut ialah Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) dan Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF).
Presiden Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais dan Hakim Mahkamah Persekutuan Rhodzariah Bujang, menolak rayuan tersebut, manakala seorang lagi Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Lee Swee Seng, menyampaikan keputusan berbeza.
Mahkamah tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.
Pada 9 Sept 2024, mahkamah tertinggi negara itu membenarkan Peka dan SACF untuk merayu terhadap penolakan permohonan semakan kehakiman mereka yang cabar di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2022.
Ia terekait dengan keputusan kerajaan Selangor yang membatalkan pewartaan kawasan hutan seluas 406.22 hektar di Bukit Cherakah.
Rayuan mereka kemudian ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 24 Jan 2024 atas alasan bahawa permohonan tersebut difailkan melepasi tempoh masa yang ditetapkan.
Kedua-dua NGO terbabit kemudian membawa perkara tersebut ke Mahkamah Persekutuan bagi memohon kebenaran untuk merayu keputusan mahkamah lebih rendah dengan mendakwa kerajaan Selangor bersalah mengundurkan tarikh warta, dengan menyatakan bahawa keputusan pembatalan warta dibuat pada 20 Nov 2000.
Mereka mendakwa pewartaan itu dikeluarkan pada 5 Mei 2022 iaitu kira-kira 22 tahun sedangkan keputusan tersebut dibuat pada 2000.
Dalam permohonan semakan kehakiman mereka, kedua-dua NGO tersebut menamakan kerajaan Selangor, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor serta Jabatan Tanah dan Galian Petaling sebagai responden.
Responden lain ialah YCH Development (YCH) Sdn Bhd, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Restu Mantap Sdn Bhd (Restu Mantap).
Peka dan SACF diwakili peguam Gurdial Singh Nijar, Rajesh Nagarajan dan Amanda Sonia Mathew, manakala Penolong Penasihat Undang-undang Selangor, Hani Aziza Ismail @ Aziz dan Mary Phoon Keat Mee mewakili kerajaan negeri, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, serta Jabatan Tanah dan Galian Petaling.
Peguam lain ialah Ng Ka Choon dan Low Jiah Yee mewakili YCH, Ganapathi Ramasamy, Al Sabri Ahmad Kabri dan Marlia Mohd Azrin mewakili PKNS, manakala John Wong Yok Hon mewakili Restu Mantap.
Peguam New Sin Yew dan Abhilaash Subramaniam pula mewakili Majlis Peguam Malaysia sebagai amicus curiae (rakan mahkamah).
- Bernama
