Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semantan Estate gagal dapat dokumen taksir ganti rugi Enklaf Duta
Diterbitkan:  Apr 1, 2026 5:29 PM
Dikemaskini: 9:30 AM

Semantan Estate (1952) Sdn Bhd hari ini gagal memperoleh beberapa dokumen termasuk pelan pengambilan tanah antara tahun 1956 hingga 1960 untuk digunakan dalam menentukan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar oleh kerajaan berhubung pemilikan tanah dikenali sebagai Enklaf Duta.

Ini selepas Hakim Mahkamah Tinggi Roslan Mat Nor menolak permohonan Semantan Estate bagi mendapatkan dokumen terbabit antaranya Lembaran Tinjauan Pendapatan dan Pelan-Pelan Pengambilan Tanah Menurut Notifikasi Warta.

Beliau berkata defendan (kerajaan) dalam afidavit jawapan yang difailkan oleh beberapa pihak dalam kes itu memaklumkan bahawa dokumen yang dimohon tidak berada dalam kawalannya.

Namun, hakim itu berkata terdapat dokumen lain yang berada dalam milikan dan kawalan defendan serta sebahagiannya telah dipersetujui untuk diserahkan kepada plaintif.

Roslan berkata mahkamah juga telah meneliti afidavit jawapan Pejabat Tanah dan Galian Kerajaan Persekutuan, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Akrib Negara serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan mendapati tiada dokumen yang dimohon oleh plaintif berada dalam rekod dan simpanan agensi berkenaan.

"Oleh itu, penzahiran dokumen ditolak dan tiada perintah berkenaan kos," katanya yang menetapkan 10 April ini untuk pengurusan kes.

Permohonan itu difailkan oleh plaintif bagi membolehkan saksi pakar mereka, yang menyediakan laporan pentaksiran, merujuk dokumen berkenaan untuk dijadikan asas bagi memberi pendapat dalam membantu mahkamah menentukan jumlah pampasan sewajarnya kepada syarikat berkenaan.

Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Azza Azmi membantah permohonan itu atas alasan dokumen yang dimohon oleh plaintif tidak berada dalam kawalan keempat-empat agensi.

"Dokumen yang dimohon tidak relevan kerana tiada keterangan menerusi afidavit yang menyatakan saksi pakar plaintif memerlukan dokumen berkenaan untuk kes ini," katanya.

Sementara itu, peguam Janet Chai Pei Wing yang mewakili Semantan Estate, berkata dokumen terbabit boleh membantu mahkamah memutuskan jumlah ganti rugi.

Sehubungan dengan itu, Chai berkata sebagai pihak kerajaan persekutuan, defendan sepatutnya mempunyai akses kepada dokumen berkenaan.

Pada 13 Nov 2025, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Semantan Estate untuk mendapat kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Pendaftar Hak Milik Tanah Wilayah Persekutuan tidak perlu mendaftarkan tanah seluas 263.272 ekar di Enklaf Duta atas nama syarikat berkenaan.

Justeru, keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada kerajaan kekal berkuat kuasa kerana syarikat itu tidak boleh meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan selepas gagal memperoleh kebenaran.

Kes itu kemudian dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran bagi pentaksiran ganti rugi.

Pada 24 Jun 2025, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Semantan Estate tidak berhak ke atas hak milik tanah berkenaan namun syarikat itu layak menerima pampasan sewajarnya yang akan ditaksir berdasarkan nilai tanah pada 1956, iaitu ketika ia diambil alih oleh kerajaan.

Tanah yang dipertikai itu terletak di kawasan utama Jalan Duta, dikenali sebagai Enklaf Duta, yang menempatkan bangunan kerajaan termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Kes pertikaian membabitkan Semantan Estate bermula pada 2003 apabila syarikat berkenaan menyaman kerajaan dan mendakwa tanah itu diambil secara tidak sah.

Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya membuat keputusan yang memihak kepada Semantan Estate dan memutuskan bahawa kerajaan telah mengambil alih tanah itu secara tidak sah serta syarikat berkenaan mempunyai kepentingan benefisial terhadapnya.

Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan namun gagal.

Pada Feb 2017, Semantan Estate memfailkan saman terhadap Pendaftar Hak Milik Tanah Wilayah Persekutuan supaya menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2009 itu.

Mahkamah Tinggi pada Ogos 2024 mengarahkan Pendaftar Hak Milik Tanah Wilayah Persekutuan untuk memindahkan hak milik tanah terbabit dalam tempoh tiga bulan dari tarikh penghakiman namun keputusan itu diketepikan oleh Mahkamah Rayuan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS