Kerajaan Negeri Pahang akan melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) selama dua hari seminggu secara giliran kepada penjawat awam negeri berkuat kuasa mulai minggu hadapan.
Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selepas mengambil kira keresahan rakyat serta cabaran peningkatan kos sara hidup ketika ini berikutan konflik yang berlaku di Asia Barat.
“Pelaksanaan dasar ini akan dibuat secara tersusun dan berjadual tanpa menjejaskan kecekapan operasi serta penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri kepada rakyat.
“Ketua-ketua jabatan dan agensi akan menyelaras pelaksanaannya berdasarkan keperluan perkhidmatan serta fungsi jabatan masing-masing,” katanya pada sidang media di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah di Kuantan hari ini.
Dia turut memuat naik kenyataan berhubung dasar BDR itu di media sosialnya.
Dia turut berharap penjawat awam negeri terus mengekalkan disiplin, integriti dan produktiviti yang tinggi sepanjang pelaksanaan dasar berkenaan.
Wan Rosdy berkata pelaksanaan dasar itu akan dipantau melalui prosedur operasi standard (SOP) tertentu bagi memastikan tiada gangguan terhadap produktiviti serta mengelakkan sebarang kekosongan dalam penyampaian perkhidmatan.
“Dasar BDR itu akan ditentukan berdasarkan keadaan semasa dan boleh disemak semula apabila keadaan kembali pulih.
“Kita telah pun laksanakan (BDR) semasa pandemik Covid-19, mungkin ada penambahbaikan yang kita akan laksanakan,” katanya.
Dia turut menggalakkan pihak swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun serta majikan lain untuk meneliti pendekatan kerja yang lebih fleksibel termasuk pelaksanaan BDR, mengikut kesesuaian operasi masing-masing.
