Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (WFH) bagi sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 15 April depan sebagai langkah proaktif mendepani krisis tenaga global.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerusi mesej video berkata, keputusan itu – yang dicapai dalam mesyuarat jemaah menteri – bertujuan mengurangkan penggunaan bahan api dan memastikan kemampanan bekalan tenaga negara yang terkesan akibat konflik di Asia Barat.
Kata Anwar ketegangan melibatkan Israel, AS dan Iran itu telah menjejaskan rantaian bekalan global namun Malaysia masih mampu bertahan dengan mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter buat masa ini.
“Jadi, apabila keadaan ini melegakan sedikit tidak bermakna kita boleh selesa... penyakit mana-mana masyarakat baik keluarga kita atau negara kita, kalau kita agak terlalu selesa dan ambil ringan sahaja, ini mungkin mengundang masalah yang lebih berat.
“Kita harus terima kenyataan bahawa keadaan tidak seperti biasa... kalau keadaan itu mencemaskan maka kita juga mesti bertindak sesuai dengan tuntutan masa, dan kita mesti ikut rancangan kita,” katanya.
Anwar berkata kerajaan bertindak menampan impak krisis tenaga global semasa menerusi Inisiatif Sokongan Rakyat dengan memperuntukkan tambahan sebanyak RM4 bilion sebulan bagi menyerap impak kenaikan kos minyak dunia demi memastikan rakyat tidak terbeban dengan peningkatan harga yang mendadak di pasaran.
Selain itu, katanya, bagi memastikan pengurusan sumber yang lebih cekap, kerajaan menyelaraskan kuota subsidi Budi Madani 95 kepada 200 liter sebulan bermula hari ini, selain menguatkuasakan had pengisian harian diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Menurut Anwar lagi kerajaan turut mempergiat usaha mempelbagaikan sumber untuk menjamin bekalan tenaga negara.
- Bernama
