Amerika Syarikat (AS) pada Rabu menarik balik sekatan terhadap presiden sementara Venezuela Delcy Rodriguez, kurang tiga bulan selepas pemimpin Nicolas Maduro ditahan dalam operasi ketenteraan AS, lapor Anadolu Ajansi.
Keputusan itu diumumkan menerusi laman sesawang Jabatan Perbendaharaan AS, yang mengeluarkan nama Rodriguez daripada senarai sekatan sebagai sebahagian daripada usaha untuk memulihkan semula hubungan diplomatik dan menstabilkan negara itu.
Washington sebelum ini mengenakan sekatan terhadap Rodriguez pada 2018 berhubung peranannya dalam mengukuhkan pemerintahan Maduro.
Keputusan itu dibuat selepas Jabatan Negara AS pada Isnin mengumumkan penyambungan semula operasi di Kedutaan AS di Caracas, yang disifatkan sebagai “bab baharu” dalam penglibatan diplomatik dengan Venezuela.
Kuasa Usaha Laura F. Dogu tiba di Caracas pada Januari bagi mengetuai usaha memulihkan kedutaan dan membuat persediaan bagi kepulangan kakitangan serta menyambung semula perkhidmatan konsular.
Kedutaan itu ditutup sejak 2019 selepas Washington mengiktiraf pemimpin pembangkang Juan Guaido sebagai presiden sementara dan menolak pemilihan semula Maduro.
Perkembangan itu berlaku ketika Maduro masih berada dalam tahanan AS susulan penahanannya dalam serbuan ketenteraan AS pada waktu malam di Caracas pada awal Januari.
Sejak itu, Rodriguez melakukan rombakan pegawai utama dan mengambil langkah untuk membuka sektor minyak Venezuela kepada pelaburan asing.
- Bernama-Anadolu
