Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AS dakwa presiden Iran mohon gencatan senjata, Tehran kata 'palsu'
Diterbitkan:  Apr 2, 2026 11:43 AM
Dikemaskini: 3:52 AM

Donald Trump pada Rabu berkata bahawa presiden Iran memohon gencatan senjata tetapi menegaskan republik Islam itu mesti membuka semula Selat Hormuz terlebih dahulu, menjelang ucapan nasional yang dijangka menyentuh mengenai keadaan perang.

Tehran menafikan Presiden Masoud Pezeshkian memohon gencatan senjata dengan Washington, dan mengumumkan pada malam Rabu bahawa satu lagi siri serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta pangkalan AS di negara-negara Teluk.

“AS akan mempertimbangkan gencatan senjata apabila Selat Hormuz terbuka, bebas, dan jelas. Sehingga itu, kami akan membedil Iran sehingga lenyap atau, seperti yang mereka katakan, kembali ke Zaman Batu! tulis Trump di Truth Social.

Hantaran itu dibuat sebelum ucapan televisyennya pada jam 9 malam (0100 GMT Khamis), yang merupakan ucapan pertamanya sejak serangan AS-Israel pada 28 Feb mencetuskan perang dan krisis tenaga global.

Tehran berkata tiada rundingan sedang dijalankan untuk menamatkan perang, dan wartawan AFP melaporkan letupan besar berlaku di ibu negara Iran pada Rabu.

Nada Trump berubah-ubah antara agresif dan berdamai sejak perang bermula. Pada Selasa, dia berkata konflik selama sebulan itu boleh berakhir dalam "dua minggu, atau mungkin tiga."

Pezeshkian sebelum ini berkata Iran mempunyai "kemahuan yang diperlukan" untuk gencatan senjata, tetapi hanya jika musuhnya menjamin permusuhan tidak akan bersambung semula.

Menjelang ucapan Trump, presiden Iran itu menyoal rakyat AS sama ada konflik itu benar-benar mengutamakan "America First," sambil menuduh Washington melakukan jenayah perang dan dipengaruhi oleh Israel.

Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) pada Rabu berikrar untuk memastikan Selat Hormuz terus ditutup kepada "musuh" negara itu.

Satu perlima daripada minyak global biasanya melalui selat sempit itu, dan penutupannya secara berkesan telah menyebabkan harga tenaga melambung tinggi.

IRGC juga mengesahkan mereka telah menyerang sebuah kapal tangki minyak di Teluk yang menurut mereka milik Israel. Sebuah agensi keselamatan maritim Britain berkata kapal itu diserang di luar pantai Qatar, dengan laporan kerosakan tetapi tiada kecederaan.

Tentera Iran berkata peluru berpandu terbarunya menyasarkan bandar-bandar di Israel termasuk di Tel Aviv dan Eilat serta kemudahan tentera AS di Bahrain dan Kuwait.

Seorang wartawan AFP melaporkan letupan besar di Tehran pada petang Rabu dan serangan awal berhampiran bekas kedutaan AS.

Pemimpin tertinggi baharu Iran, Mojtaba Khamenei — yang tidak kelihatan di khalayak ramai sejak bapanya terbunuh dalam serangan udara pada hari pertama perang — berkata "musuh Amerika dan Zionis yang zalim dan kejam tidak mengenal had kemanusiaan dan moral atau batasan."

Sementara itu media tempatan juga melaporkan ribuan rakyat Iran berkumpul di Tehran untuk pengebumian komander tentera laut IRGC, yang terbunuh dalam serangan udara Israel.

"Kami akan bertahan hingga akhir," kata Moussa Nowruzi, seorang peserta pengebumian berusia 57 tahun.

Media Iran juga melaporkan bekas menteri luar Iran, Kamal Kharazi cedera parah dalam serangan yang turut mengorbankan isterinya.

Turut dilaporkan pada Rabu adalah bahawa sebuah lapangan terbang penumpang di wilayah Isfahan dan kompleks keluli di bahagian lain negara itu mengalami kerosakan dalam serangan.

Tentera Israel mengesahkan ia menyerang Tehran, manakala perkhidmatan kecemasan berkata serangan peluru berpandu Iran pada pagi Rabu melukakan 14 orang, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Ketika Israel bersiap sedia untuk sambutan Passover yang bermula pada waktu senja Rabu, siren serbuan udara yang memberi amaran tentang peluru berpandu yang datang berbunyi berulang kali di kawasan Tel Aviv.

Di Lebanon, tujuh orang terbunuh dalam serangan di sekitar selatan Beirut, kata kementerian kesihatan pada Rabu, dengan tentera Israel menyatakan ia menyerang seorang komander kanan Hizbollah.

Koresponden AFP di lokasi melihat jalan dipenuhi asap tebal dan serpihan.

Kementerian kesihatan Lebanon berkata serangan Israel telah membunuh lebih 1,300 orang di negara itu sejak perang meletus antara Israel dan Hizbollah yang disokong Iran pada 2 Mac.

Serangan juga dilancarkan ke atas Kuwait yang menyebabkan kebakaran besar di lapangan terbang antarabangsanya, Bahrain pula melaporkan kebakaran di kemudahan perniagaan, dan Arab Saudi berkata beberapa dron telah dipintas.

Seorang warga Bangladesh terbunuh akibat serpihan yang jatuh daripada dron yang dipintas di Emiriah Arab Bersatu.

"Setiap hari, kami dengar bunyi dron," kata Waad Abdulrazaq, seorang pemandu trak berusia 31 tahun berhampiran lapangan terbang antarabangsa Erbil di Iraq.

"Kami dengarnya pada waktu pagi, dan kami dengarnya pada waktu malam. Kami tidak lagi dapat tidur atau hidup dengan aman."

Optimisme yang dicetuskan oleh kenyataan Trump mengenai garis masa penamatan perang mendorong harga minyak turun pada Rabu, dan pasaran saham meningkat di Eropah, Asia dan AS.

Tetapi tindakan Iran yang menyekat Hormuz mengakibatkan eksport minyak dan gas negara-negara Teluk tidak mencapai pasaran global. Ini, telah menyebabkan harga tenaga melambung tinggi dan mencetuskan kegawatan ekonomi antarabangsa.

Purata harga petrol AS melebihi AS$4 segelen buat kali pertama dalam tempoh empat tahun, inflasi Eropah melonjak dan kerajaan mula memperkenalkan langkah sokongan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS