Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir gesa orang Melayu bersatu, Akmal ucap terima kasih
Diterbitkan:  Apr 2, 2026 1:27 PM
Dikemaskini: 5:37 AM

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memberi amaran bahawa perpecahan politik dalam kalangan orang Melayu telah menyebabkan kaum itu menjadi lemah sehingga mengakibatkan negara "tergadai".

Katanya, bahawa penubuhan pelbagai parti politik Melayu yang bersaing sesama sendiri hanya memecahbelahkan perpaduan yang pernah dikecap satu ketika dahulu.

"Maka ditubuhlah beberapa parti. Ini memecahbelah orang Melayu. Mereka bersaing sesama mereka. Tidak mungkin ada antara mereka yang menang.

"Mereka kalah. Negara tergadai. Tanah Melayu sudah jadi tanah orang lain," kata Mahathir dalam satu hantaran ringkas di media sosial hari ini.

Mengulas lanjut, bekas perdana menteri itu berkata bahawa pada masa lalu, orang Melayu berjaya mengalahkan British bukan semata-mata kerana jenama Umno, tetapi melalui nilai perpaduan yang disalurkan melalui parti tersebut.

Bagaimanapun, dia berpendapat tanggapan silap bahawa "parti boleh memberi kemenangan" telah membawa kepada kewujudan banyak organisasi politik Melayu yang kini saling bertelagah.

"Yang silap ialah orang Melayu. Ini adalah perjuangan yang terakhir bagi orang Melayu," tambah Mahathir.

Kenyataan tersebut turut mendapat reaksi daripada Dr Akmal Saleh yang menyokong pandangan berkenaan perpecahan tersebut.

"Terima kasih Tun. Selagi Melayu berpecah, selagi itulah kita akan lemah," kata Akmal ringkas menerusi hantaran di media sosial.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, semasa perhimpunan agung parti itu pada tahun lalu mencadangkan idea itu susulan terdapat pelbagai parti Melayu / Islam sehingga menyaksikan kaum terbesar di negara ini berpecah-belah.

Parti-parti Melayu atau majoriti Melayu dalam Kerajaan Perpaduan yang membentuk kerajaan persekutuan hari ini adalah Umno, Amanah, dan PKR manakala di pihak pembangkang, PAS, Bersatu bersama Berjasa membentuk Perikatan Nasional.

Selain itu, terdapat juga parti-parti Melayu atau majoriti Melayu lain seperti Muda, Pejuang dan Putra.

Rumah Bangsa diperkenalkan sebagai sebuah gagasan untuk menyatukan semula orang Melayu di bawah satu "bumbung" politik yang stabil. Sebelum ini terdapat juga konsep "payung besar" yang pernah diusahakan namun gagal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS