mk-logo
Berita
Bekalan petroleum stabil, Putrajaya sedia pelan kecemasan - TPM
Diterbitkan:  Apr 2, 2026 5:11 PM
Dikemaskini: 9:11 AM

Putrajaya memberi jaminan bekalan petroleum negara kekal mencukupi dan stabil, dengan pelan kecemasan disiapkan bagi memastikan kelangsungan bekalan walau berdepan sebarang gangguan susulan krisis tenaga global.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata kerajaan, bersama Petronas dan pemain industri memantau rantaian bekalan secara harian bagi memastikan kestabilan berterusan.

"Pelan kontingensi juga disediakan bagi memastikan kelangsungan bekalan dalam apa jua keadaan, termasuk mendapatkan bekalan daripada pasaran alternatif sekiranya gangguan berpanjangan berlaku.

"Hasil daripada penyelarasan ini, bekalan petroleum negara kekal mencukupi dan stabil, rantaian bekalan dipantau secara harian, dan pelan kontingensi sentiasa bersedia serta dikemas kini. Pada masa yang sama, kerajaan komited untuk melindungi rakyat," katanya ketika menyampaikan taklimat krisis tenaga global yang disiarkan secara langsung di RTM, hari ini.

Fadillah yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air menjelaskan kerajaan menetapkan lima keutamaan utama dalam menghadapi krisis ini, meliputi jaminan bekalan, libat urus dengan industri, kawalan kenaikan harga, langkah penjimatan tenaga, serta penyampaian maklumat yang konsisten kepada rakyat.

Menurutnya, krisis tenaga global yang dipacu konflik di Asia Barat memberi kesan langsung kepada bekalan dan harga tenaga dunia, sekali gus mewujudkan tekanan terhadap ekonomi seperti Malaysia.

"Gangguan terhadap laluan strategik seperti Selat Hormuz, yang menjadi nadi kepada aliran minyak global, telah meningkatkan ketidaktentuan pasaran serta menekan harga minyak ke paras yang tinggi.

"Sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada tempias ini. Namun, penting untuk ditegaskan bahawa negara kita berada dalam keadaan terkawal, bersedia dan mengambil langkah proaktif untuk mengurus kesan krisis ini," katanya.

Mengulas langkah kawalan harga, dia berkata pelarasan bahan api tidak bersubsidi dilaksanakan secara terkawal bagi mencerminkan keadaan pasaran global tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Kerajaan juga, katanya terus memantau kesan kepada kos sara hidup termasuk harga barangan asas.

"Bekalan makanan asas kekal mencukupi, pemantauan harga dilaksanakan setiap hari di seluruh negara, dan tindakan tegas diambil terhadap kenaikan harga yang tidak munasabah.

"Pendekatan kerajaan adalah jelas, iaitu melindungi rakyat tanpa menjejaskan kestabilan jangka panjang ekonomi negara," katanya sambil menjelaskan insiatif-inisiatif subsidi yang dilaksanakan termasuk mengekalkan harga RM95 bersubsidi pada harga RM1.99 seliter.

Fadillah berkata kerajaan akan terus menyalurkan maklumat secara telus dan berkala bagi memastikan rakyat memahami situasi sebenar tanpa panik.

Katanya, orang ramai juga diminta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kekeliruan.

"Saya juga ingin menegaskan, selaras dengan mesej perdana menteri semalam, agar semua pihak tidak menyebarkan atau berkongsi maklumat yang tidak sahih yang boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

"Kerajaan akan terus memastikan bekalan terjamin, bekerjasama rapat dengan industri, dan membendung tekanan kenaikan harga sedaya upaya.

“Namun, kejayaan kita dalam mengharungi krisis ini juga bergantung kepada peranan semua pihak," ujarnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS