mk-logo
Berita
Rayer soal AG: Kes kemalangan maut ‘tidak konsisten’
Diterbitkan:  Apr 2, 2026 5:43 PM
Dikemaskini: 10:50 AM

Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer mempersoalkan Peguam Negara Dusuki Mokhtar berhubung apa yang disifatkannya sebagai tindakan “tidak konsisten” dalam kes kemalangan jalan raya maut yang melibatkan pemandu dipercayai di bawah pengaruh dadah dan alkohol.

Rayer berkata dia menyokong tindakan undang-undang tegas terhadap pemandu mabuk dan di bawah pengaruh dadah, sambil merujuk kes terbaru melibatkan R Saktygaanapathy yang didakwa di Mahkamah Majistret Klang pada 1 April di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Saktygaanapathy didakwa memandu di bawah pengaruh benzodiazepin dan tetrahydrocannabinol (THC), yang mengakibatkan kematian penunggang motosikal Amirul Hafiz Omar pada 29 Mac di Klang, Selangor.

Dia mengaku bersalah mengambil dadah namun belum memasukkan pengakuan bagi pertuduhan bunuh, sementara menunggu kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Rayer turut menyatakan simpati kepada keluarga Amirul Hafiz, sambil memaklumkan mangsa dilaporkan dalam perjalanan membeli buku matematik untuk anak-anaknya ketika kejadian.

“Saya mendoakan agar keluarganya dikurniakan kesabaran, kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi waktu yang amat sukar ini,” katanya.

Dusuki sebelum ini menyatakan keyakinan terhadap keputusan pendakwaan untuk meneruskan pertuduhan bunuh atas alasan “pengabaian terang-terangan terhadap nyawa manusia”.

Bagaimanapun, Rayer membangkitkan kebimbangan terhadap satu lagi kes kemalangan maut pada 9 Feb di Batu Gajah, Perak, yang meragut nyawa tiga sekeluarga — SR Sarala Devi, 34; G Sarasbathy Gopal, 65; dan S Shaastikka, berusia tiga tahun.

Perlembagaan larang diskriminasi

Dia mengingatkan dalam kes itu, pemandu sebuah Toyota Hilux yang turut dipercayai di bawah pengaruh THC disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Merujuk Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesamarataan di sisi undang-undang serta melarang diskriminasi, Rayer menyoal mengapa kedua-dua kes ditangani di bawah peruntukan undang-undang berbeza walaupun kedua-duanya melibatkan pemanduan di bawah pengaruh dadah yang mengakibatkan kematian.

“Semua warganegara adalah sama di sisi undang-undang, maka Peguam Negara perlu menjelaskan mengapa kes di Klang didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala kes Batu Gajah… di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan,” katanya.

Setakat hari ini, semakan Malaysiakini mendapati tiada laporan susulan yang mengesahkan pertuduhan telah difailkan, dengan kes itu dipercayai masih di peringkat siasatan sementara menunggu dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.

Rayer menegaskan penjelasan yang terang dan meyakinkan diperlukan bagi mengelakkan kekeliruan serta salah faham masyarakat terhadap undang-undang.

Tambahnya, kegagalan berbuat demikian boleh menjejaskan keyakinan awam, sambil menegaskan kedaulatan Perlembagaan dan prinsip keluhuran undang-undang seperti termaktub dalam Rukun Negara mesti sentiasa dipertahankan.

Ketika dihubungi, peguam Latheefa Koya turut menuntut penjelasan, dengan merujuk satu lagi kes berasingan melibatkan pemandu lori Rudi Zulkarnain yang didakwa pada 16 Mei tahun lalu di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan kerana menyebabkan kematian sembilan anggota FRU.

“Dalam apa jua keadaan, pemanduan di bawah pengaruh dadah atau alkohol tidak terhad kepada mana-mana kaum — laporan berita dipenuhi contoh pelaku daripada semua kaum,” katanya yang juga bekas ketua pesuruhjaya SPRM itu.

Latheefa turut menyatakan peningkatan retorik berunsur perkauman terhadap komuniti India di Malaysia merupakan kesinambungan kepada penyalahgunaan sentimen kaum yang bermula daripada isu kuil haram, yang menurutnya tidak ditangani secara berkesan oleh pemimpin kerajaan.

“Ketiadaan kepimpinan moral berterusan oleh kerajaan ketika polemik perkauman yang mengejutkan terhadap komuniti India adalah tidak boleh diterima dan memalukan negara.

“Hampir tiada suara atau kenyataan mengecam perkauman dan hasutan berasaskan kaum daripada perdana menteri atau kabinet,” dakwanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS