mk-logo
Berita
Gempa magnitud 7.6 gegar perairan Sulawesi Utara, tsunami dikesan
Diterbitkan:  Apr 2, 2026 6:20 PM
Dikemaskini: 10:20 AM

Sebanyak 93 gegaran susulan direkodkan setakat tengah hari ini, dengan ombak tsunami kecil turut dikesan susulan gempa bumi bermagnitud 7.6 yang melanda perairan Sulawesi Utara awal pagi Khamis.

Ketua Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Teuku Faisal Fathani berkata gegaran susulan yang direkodkan sehingga pukul 12 tengah hari mempunyai kekuatan antara magnitud 2.8 hingga 5.8, dengan tujuh daripadanya dirasai penduduk.

Beliau berkata BMKG akan terus memantau kekerapan gegaran susulan dan menegaskan tempoh kejadian itu boleh berbeza.

“Biasanya, selepas satu atau dua hari, kami akan mengkaji trend sama ada ia akan berakhir dalam tempoh seminggu atau kadangkala dua minggu, bergantung kepada situasi,” katanya dalam sidang media hari ini.

Gempa bumi bermagnitud 7.6 itu berlaku pada 6.48 pagi waktu tempatan (WITA), dengan pusat gempa dikesan di laut pada koordinat 1.25 darjah latitud utara dan 126.27 darjah longitud timur pada kedalaman 62 kilometer, serta dirasai kuat di Manado dan kawasan sekitarnya.

BMKG memaklumkan ombak tsunami kecil dikesan susulan gempa berkenaan dengan kenaikan paras air laut sehingga 0.3 meter di Halmahera Barat dan 0.2 meter di Bitung.

Teuku Faisal memberi amaran bahawa dalam sesetengah kes, seperti gempa dan tsunami Sulawesi 2018, gegaran susulan boleh menjadi lebih kuat daripada gempa awal, dan situasi itu terus dipantau di pusat Sistem Amaran Awal Pelbagai Bahaya BMKG di Kemayoran.

Beliau berkata pemantauan paras air laut dijalankan menggunakan sembilan tolok pasang surut, termasuk tiga dikendalikan Badan Informasi Geospasial (BIG), bagi mengesan ketinggian tsunami di pelbagai lokasi.

Katanya, walaupun ketinggian ombak yang direkodkan kelihatan kecil, keadaan geografi di Maluku Utara dan Sulawesi Utara yang mempunyai pulau kecil serta teluk boleh meningkatkan kekuatan ombak melebihi anggaran awal.

Sementara itu, Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Suharyanto berkata laporan awal menunjukkan kesan terhad dengan satu kematian direkodkan di Manado dan seorang cedera ringan di Minahasa.

Menurutnya, kira-kira 16 isi rumah terjejas di Minahasa, manakala beberapa bangunan termasuk pejabat kerajaan, sebuah hotel dan bangunan Komite Olahraga Nasional Indonesia (KONI) di Manado turut mengalami kerosakan.

Kerosakan juga dilaporkan di Minahasa dan Ternate, manakala penilaian di Bitung masih dijalankan.

Suharyanto berkata Sulawesi Utara dan Maluku Utara merupakan antara wilayah berisiko tinggi dilanda gempa bumi dan tsunami, berdasarkan rekod sejak 1608 yang menunjukkan kekerapan gempa besar melebihi magnitud 7, termasuk kejadian bermagnitud 7.7 pada 1998.

Beliau berkata pihak berkuasa termasuk kerajaan tempatan, tentera dan polis perlu terus mengingatkan masyarakat supaya berwaspada serta meningkatkan kesiapsiagaan.

Menurutnya, kerajaan melalui BNPB dan BMKG telah memperkukuh keupayaan amaran awal dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini, termasuk pemasangan sistem amaran awal tsunami di kawasan pesisir serta pembangunan pusat kawalan operasi dan siren amaran.

Katanya, siren amaran awal diaktifkan sejurus selepas gempa bagi menyalurkan amaran awal kepada komuniti mengenai potensi tsunami.

Suharyanto menegaskan data kerosakan setakat ini bersifat awal dan tertakluk kepada kemas kini berterusan.

Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS