TINJAUAN | Pengurangan kuota petrol bersubsidi Budi95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan bermula April ini mencetuskan reaksi bercampur dalam kalangan pengguna, dengan ada yang melihatnya sebagai langkah wajar dalam krisis global manakala sebahagian lain bimbang kesan terhadap kos hidup.
Kerajaan mengumumkan langkah itu susulan ketidaktentuan bekalan tenaga global yang dipengaruhi konflik di Asia Barat. Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ia tidak menjejaskan hampir 90 peratus pengguna kerana majoriti rakyat dianggarkan menggunakan sekitar 100 liter sebulan.
Tinjauan KiniTV di lapangan mendapati sebahagian pengguna menerima had baru itu sebagai mencukupi, khususnya bagi mereka yang tidak perlu melakukan perjalanan jauh setiap hari.
Bagaimanapun, laporan ini mungkin tidak menggambarkan situasi menyeluruh kerana melibatkan jumlah responden kecil dan tertumpu di sekitar Lembah Klang.

Seorang pekerja bebas, Li Lau Yang (gambar atas) berkata pengurangan itu masih boleh diterima dalam situasi semasa yang menyaksikan ketegangan geopolitik, kekurangan bekalan minyak global dan tekanan kos.
Menurutnya, bagi pengguna biasa dengan kapasiti tangki sekitar 30 liter, penggunaan bulanan masih berada dalam lingkungan had baru.
“Namun, bagi mereka yang perlu bergerak lebih kerap untuk urusan kerja atau perniagaan, sudah tentu akan melibatkan kos tambahan,” katanya.
Seorang penganalisis industri kewangan, Goh Wen Song (gambar bawah) pula menyifatkan langkah itu sebagai munasabah dalam menghadapi situasi kecemasan berkaitan bekalan minyak global.

Menurutnya, kenaikan harga minyak dunia berpotensi meningkatkan beban kewangan kerajaan, justeru pengurangan kuota dilihat sebagai usaha mengawal perbelanjaan.
“Masalah ini bukan hanya di Malaysia, tetapi turut berlaku di negara Asia lain seperti Jepun, Thailand, Korea dan Indonesia,” katanya.
Namun, dia memberi amaran peningkatan kos bahan api, khususnya diesel yang digunakan sektor korporat, boleh memberi kesan tidak langsung kepada pengguna melalui kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Dalam kalangan responden lain, langkah itu dilihat sebagai peluang mengubah corak penggunaan bahan api.
Ketua pasukan pemprosesan data, Rohil Suryavarma (gambar atas) Kunasegar berkata pengurangan kuota boleh menggalakkan orang ramai beralih kepada pengangkutan awam serta mengurangkan kebergantungan kepada subsidi.
Namun, dia berpandangan kesannya mungkin lebih ketara kepada penduduk di kawasan kurang membangun berbanding mereka di bandar yang mempunyai akses kepada pengangkutan awam seperti Rapid KL.
Menurutnya, pengguna di bandar mungkin tidak mencecah had 200 liter sebulan, sekali gus menjadikan had itu mencukupi.

Dalam jangka panjang, katanya langkah itu boleh mendidik masyarakat berbelanja secara lebih sederhana.
Pandangan itu turut dikongsi pensyarah Noor Liza Md Isa yang menekankan keperluan rakyat memainkan peranan bersama kerajaan dalam menghadapi cabaran global.
“Saya rasa kita semua perlu melakukan bahagian masing-masing.
“Jika kerajaan mengurangkannya untuk mengurus bajet, rakyat juga perlu menyesuaikan diri,” katanya.

Menurut Noor Liza (gambar atas) langkah itu mungkin bersifat sementara dan boleh disemak semula apabila keadaan global kembali stabil.
“Kita perlu fleksibel kerana kita tidak hidup secara terasing daripada dunia,” katanya.
Namun, tidak semua bersetuju dengan langkah tersebut. Kesan kepada golongan yang perlu melakukan perjalanan jauh atau bergantung kepada kenderaan untuk mencari rezeki antara kebimbangan utama.
Wakil WWF Malaysia, Kaliswaran (gambar bawah) berkata dia tidak berpuas hati kerana pekerjaannya memerlukan perjalanan jarak jauh.

“Kalau ada kecemasan atau perjalanan jauh, 200 liter mungkin tidak mencukupi, terutama apabila bajet terhad,” katanya.
Tegasnya, golongan seperti pekerja pelancongan, pemandu e-hailing dan individu yang tinggal jauh dari tempat kerja berpotensi terjejas lebih besar.
Bagaimanapun, seorang pereka grafik, Akmal K (gambar bawah) melihat langkah itu mempunyai kelebihan dan kekurangan bergantung kepada keperluan individu.
“Saya secara peribadi lebih cenderung kepada had 300 liter kerana keperluan penggunaan saya,” katanya.

Menurutnya, penerimaan masyarakat ketika ini berpecah ‘50-50’ dalam isu ini.
Secara keseluruhan, sebahagian responden mengakui langkah itu wajar dalam konteks ketidaktentuan global.
Li Lau Yang menyifatkannya sebagai keputusan dasar awam yang tepat pada masanya dan boleh menjadi “penampan” bagi menghadapi bulan-bulan mendatang.
Goh Wen Song pula mengaitkan keputusan itu dengan faktor geopolitik dan ekonomi global yang memerlukan kerajaan menyesuaikan perbelanjaan negara.
Jangan membebankan
“Langkah ini mungkin membantu menyediakan ruang kewangan untuk pemulihan ekonomi pada masa depan,” katanya.
Rohil Suryavarma bagaimanapun menegaskan aspek pelaksanaan perlu diperhalusi agar tidak membebankan golongan tertentu.
Sementara itu, Noor Liza berkata pendekatan Malaysia masih lebih sederhana berbanding beberapa negara lain, termasuk di Eropah seperti United Kingdom.
“Kerajaan masih mengambil kira keadaan rakyat biasa,”jelasnya.
Pun begitu, Kaliswaran bertegas langkah itu tidak wajar kerana ramai rakyat masih bergantung kepada kenderaan.
“Tidak semua orang mempunyai pilihan yang sama. Ada yang memang perlu memandu untuk bekerja,” katanya.
