Pakar perunding psikiatri forensik memberitahu Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu, hari ini, bahawa konfrontasi antara Zara Qairina Mahathir dengan seniornya di asrama dipercayai menjadi faktor pencetus pada malam sebelum remaja itu ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya pada 16 Julai tahun lepas.
Dr Chua Sze Hung, 43, dari Hospital Mesra Bukit Padang di Kota Kinabalu, berkata pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar itu dipercayai kehilangan mekanisme menangani tekanan seperti biasa pada malam kejadian.
Saksi ke-67 inkues kematian Zara Qairina itu berkata mekanisme menangani tekanan remaja berkenaan banyak bergantung kepada sokongan rakan sebaya, menulis di dalam diari serta sebahagian daripada tingkah laku mencederakan diri tanpa niat membunuh diri (NSSI).
Katanya, berdasarkan rekonstruksi kejadian di bilik asrama, mangsa dikonfrontasi di sudut kiri dan beberapa saksi mengesahkan bahawa semasa serta selepas soal siasat itu, apabila dia kembali ke biliknya, dia berada dalam keadaan tertekan teruk, menangis dan menjerit dalam penafian.
“Rakan-rakannya berkata tingkah laku itu tidak biasa baginya. Salah seorang saksi menggambarkan bahawa dia paling sedih pada malam itu. Dari segi rasa terasing, faktor risiko perlu difahami dalam konteks mangsa.
“Mangsa seorang yang menghargai interaksi dengan rakan sebaya. Malam itu, selepas konfrontasi, atas pelbagai sebab, rakan-rakannya tidak datang menenangkannya.
“Ini memberi impak psikologi yang besar kepadanya,” kata Dr Chua ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Ditanya sama ada konfrontasi itu menjadi satu-satunya faktor yang menyebabkan Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri, Dr Chua berkata beliau tidak percaya satu faktor sahaja menyumbang kepada kejadian itu, sebaliknya konfrontasi jelas merupakan pencetus dan faktor pemangkin.
“Kejadian mungkin berlaku pada masa lain dalam keadaan berbeza serta faktor tidak stabil lain, namun ia tidak mungkin berlaku pada malam itu sekiranya tiada konfrontasi di bilik asrama,” katanya.
Dr Chua turut diminta membaca kenyataan saksi kanak-kanak ke-65 yang dipercayai individu terakhir berinteraksi dengan Zara Qairina.
Beliau berkata maklumat itu sangat penting dan menguatkan dapatan serta kesimpulannya dalam autopsi psikologi berkaitan punca kematian remaja itu.
“Maklumat saksi ke-65 ini membawa kita lebih dekat dan memberikan lebih banyak butiran mengenai keadaan mental mangsa sebelum kejadian,” tambahnya selepas lima minit membaca kenyataan saksi berkenaan.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, iaitu sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira jam 4 pagi.
Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan prosiding inkues dijalankan susulan semakan semula ke atas laporan siasatan polis.
Sebelum itu, pada 8 Ogos tahun sama, AGC mengeluarkan perintah supaya kubur pelajar itu digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.
Prosiding inkues bersambung pada 13 April.
- Bernama
